KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru 1.6 juta penjawat awam untuk menjadi benteng kepada negara.

Beliau berharap penjawat awam akan mempertahankan dasar-dasar dan tidak memberikan ruang kepada musuh negara 'membisik' hal-hal yang memecah-belahkan serta menanam bibit kebencian serta fitnah.

"Ini kerana bila diberikan amanah ia adalah ujian Allah berikan kepada kita. Bila nak laksanakan amanah? Semasa berkuasalah kita laksanakan. Esok bila saya pencen saya jerit itu tidak betul ini tidak betul sudah tiada makna lagi.

"Sekarang ada kuasa setelah melalui liku-liku dan perit-jerih keluar masuk Penjara Sungai Buloh, inilah masa saya dan rakan-rakan berikan khidmat sebaik mungkin... dan apapun cerca, hinaan dan fitnah tidak akan ganggu fokus saya bangun dan selamatkan negara serta menangkat darjat rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 bertemakan ‘Perkhidmatan Awam MADANI’, di Putrajaya, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kos sebenar berhubung pelarasan gaji penjawat awam mencecah RM10 bilion setahun dan akan dijelaskan dalam Belanjawan 2025.

"Jadi saya harap saudara faham kekangan dan kesungguhan rakan-rakan pimpinan Kerajaan untuk menjamin supaya rakyat keluarga kita yang berkhidmat bagi pihak kita, bagi pihak negara diberikan pengiktirafan yang sebaiknya," ujarnya.