Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, pergerakan bot nelayan tempatan kelas A terbabit dikesan mencurigakan sedang bergerak keluar dari muara Kuala Kedah kira-kira jam 2.20 pagi.
“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek cuba untuk melarikan diri dengan bertindak memecut bot namun berjaya dipintas bot ronda Maritim Malaysia.
"Hasil pemeriksaan mendapati, menemui 130 bungkusan plastik hitam berisi daun ketum diletakkan di bahagian tengah bot dan ditutupi kanvas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azreyanti berkata, siasatan awal mendapati, ketiga-tiga lelaki itu warga tempatan itu berasal dari Kuala Kedah berusia 33 hingga 39 tahun.
“Mereka mengaku menerima upah RM200 seorang bagi satu perjalanan,” katanya.
Ketiga-tiga suspek ditahan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.
Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.
Menurut Noor Azreyanti keseluruhan daun ketum bernilai RM234,000 manakala bot bernilai RM70,000 dirampas dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.
Jelasnya, ini merupakan tangkapan kedua membabitkan warga tempatan dan rampasan keenam bagi Zon Maritim Kuala Kedah bermula Januari.