'Terima Kasih' menjadi ungkapan bermakna buat 15 banduan Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kem Batu 10 di sini, yang membanting tulang membaiki rumah di Kampung Peramu yang rosak akibat ribut.

Banduan, Izul, 40, mengakui dua patah perkataan itu sudah lama tidak didengarinya dan secara automatik membuatkan segala penat yang dirasai selepas bertukang selama hampir lapan jam bermula 9.30 pagi hilang.

Katanya, dia juga berasa seronok apabila dimaklumkan terpilih untuk turut serta membantu dalam program khidmat masyarakat itu, kerana 'bertukang' adalah kerjanya sebelum dipenjarakan sekitar 2002 kerana kesalahan pecah rumah.

"Ini peluang untuk saya mengasah semula kemahiran. Seronok bila tahu saya masih boleh berbakti kepada masyarakat walaupun berstatus banduan. Paling gembira, mereka di sini boleh menegur kami seperti biasa.

"Tempoh berada di luar juga membuatkan saya lebih menghargai kebebasan. Ini bukan perkara biasa untuk kami," katanya kepada Bernama semasa ditemui di sini, hari ini.

Perkara itu diakui rakannya, Pok Jo, 43, yang berkata dirinya kini lebih positif untuk memulakan kehidupan baharu selepas tamat menjalani hukuman penjara selama empat tahun kerana cubaan membunuh tidak lama dahulu.

Dia yang berasal dari Maran dekat sini mengakui pada mulanya agak gusar dengan penerimaan masyarakat terhadap mereka yang memakai uniform baju t-shirt biru gelap dan seluar warna hijau terang pada hari pertama datang ke situ.

"... tapi mereka semua baik. Penduduk di sini rajin bertanya khabar. Malah mereka juga sering menawarkan air minuman selepas melihat kami bekerja di bawah matahari. Saya mula rasa seronok.

"Ini peluang untuk saya perlahan-lahan membiasakan diri kembali ke masyarakat. Saya berharap lebih ramai yang bersikap seperti ini dan menerima kami yang tersilap langkah sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Penjara Pahang, Datuk Ab Basir Mohamad berkata menerusi program itu, banduan dari PRP Kem Batu 10 yang mempunyai kemahiran bertukang menawarkan khidmat tenaga bermula 9.30 pagi hingga 5 petang selama tiga hari bermula Selasa lalu.

Katanya, mereka yang kebanyakan membaiki bahagian bumbung rumah dikawal lima warden dan program tersebut merupakan yang pertama seumpamanya serta turut mendapat kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Kuantan.

"Selain memberi peluang kepada banduan untuk mendekati semula masyarakat, kami berharap program ini dapat membuang stigma terhadap banduan supaya orang di luar dapat memaafkan banduan yang telah menjalani hukuman atas kesilapan mereka.

"Program ini juga diharapkan menimbulkan rasa keinsafan terhadap banduan. Selain daripada program membaiki rumah, mereka juga dibawa untuk berbakti di rumah orang tua," katanya.

-- BERNAMA