KUALA BERANG: Kerajaan Terengganu menyasarkan kedatangan 4.5 juta pelancong ke negeri ini tahun hadapan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris.

Beliau berkata sasaran dapat dicapai berdasarkan jumlah kedatangan pelancong tahun ini yang telah melebihi 3.5 juta orang.

"Bagi mencapai sasaran tersebut, pelbagai promosi akan dijalankan di dalam dan luar negara termasuk Eropah dan Timur Tengah yang merupakan fokus pelancongan baharu. Kita yakin tahun depan ekonomi dunia akan bertambah baik...dan kerajaan negeri dah mula (promosi) daripada sekarang," katanya selepas majlis penyampaian hadiah International Monsoon Casting Tournament (IMCT) 2023 di Kenyir Pengkalan Gawi, pada Isnin.

Razali berkata sebelum ini, promosi telah dilakukan di Eropah dan China dan akan diteruskan ke Timur Tengah tahun depan.

Seramai 250 pemancing dari Malaysia, China, Jepun, Singapura, Thailand dan Indonesia menyertai pertandingan IMCT selama empat hari bermula 15 Dis lepas.

Razali berkata kerajaan negeri juga akan memperbanyakkan program pelancongan pada November hingga Mac, iaitu pada musim tengkujuh memandangkan jumlah kedatangan pelancong yang menurun pada waktu tersebut disebabkan persepsi negatif masyarakat luar.

"Musim tengkujuh masih lagi digambarkan sebagai waktu yang tidak sesuai untuk melancong ke Terengganu kerana pulau dan tempat peranginan ditutup.

"Persepsi ini salah kerana kita masih banyak produk pelancongan yang boleh ditawarkan termasuk pakej main hujan di Setiu Wetland, Rainforest Challenge, Monsoon Ride dan macam-macam lagi," katanya.

-- BERNAMA