Tertuduh, Muhammad Faris Zaharuddin Mohd Fadli, 28, yang merupakan pemandu kedua membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memegang payudara dan kemaluan wanita berusia 23 tahun itu ketika berada di tempat duduk dalam sebuah bas ekspres.
Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Lebuhraya Pantai Timur berhampiran Plaza Tol Chukai kira-kira jam 11.30 malam pada 23 Ogos lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga 10 tahun atau dengan denda, atau dengan sebat.
Sharifah Amirda Shaha kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 selain menetapkan 25 September depan sebagai sebutan semula kes.
Sebelum ini, mangsa yang merupakan seorang jurujual yang berasal dari Marang telah membuat laporan polis dengan mendakwa dicabul lelaki itu ketika dalam perjalanan menaiki bas tersebut dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.
Laporan polis berkenaan dibuat di Balai Polis Salak Selatan Baru, sebaik mangsa tiba di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur. - Sinar Harian