KUALA LUMPUR: Kelab Liga Malaysia (Liga-M) bersaing di peringkat Asia dibenarkan mendaftar maksimum 12 pemain asing berbanding 10 sebelum ini apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini mengumumkan tambahan kuota pemain asing bagi musim 2024-2025.

Pendaftaran 12 pemain asing dibenarkan bagi empat kelab Liga Super (JDT, Selangor FC, Terengganu FC, Kuala Lumpur City FC) yang bertanding dalam kejohanan peringkat kelab anjuran anjuran Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF).

MFL, badan pengelola liga tempatan itu,meluluskan Pindaan Manual Liga Malaysia 2024-2025 melibatkan pendaftaran tersebut selepas cadangan pindaan dibuat JDT diputuskan dan diterima rakan kongsi liga dan turut mendapat kelulusan Ahli Lembaga Pengarah MFL.

MFL memaklumkan langkah itu sejajar dengan keputusan terbaharu AFC memperkenalkan peraturan pendaftaran pemain asing tanpa had dalam pertandingan kelab anjuran badan induk itu.

"Penambahan kuota pemain asing ini memberi peluang kepada kelab-kelab Liga M yang layak ke pertandingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), Liga Juara-Juara Asia II (ACL II) dan Kejuaraan Kelab ASEAN bersaing dalam kejohanan peringkat antarabangsa dengan lebih kompetitif," menurut MFL dalam kenyataan.

Susulan pindaan berkenaan, komposisi pemain dalam kelab-kelab terlibat adalah seramai 34 pemain melibatkan 22 pemain tempatan dan 12 pemain asing.

Bagaimanapun, peraturan itu hanya terpakai dalam saingan peringkat Asia dan tidak dalam Liga M yang mengekalkan pendaftaran maksimum sembilan pemain asing.

-- BERNAMA