Keresahan penduduk Seksyen 5, Bandar Bukit Mahkota di Bangi semakin meruncing apabila aduan tentang keruntuhan tanah di kawasan perumahan mereka tidak diendahkan.

Tebing sebuah jalan yang sering digunakan penduduk sebagai laluan utama mereka, runtuh sehingga menyebabkan sebahagian dari jalan tersebut terhakis dengan teruk.

Keadaan tersebut dilihat membahayakan apatah lagi kanak-kanak didapati sering bermain di kawasan tersebut di waktu petang.

Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Bukit Mahkota, Kyairul Hassme Adan memaklumkan, kejadian tanah runtuh itu bermula pada 26 November lalu dengan runtuhan kecil.

Menurut beliau, penduduk di situ kemudiannya membuat laporan atas talian di laman sesawang Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) pada 1 Disember apabila menyedari kesan runtuhan semakin besar.

Tanah runtuh Bukit Mahkota
Kesan runtuhan yang telah merebak ke kawasan jalan. - Foto Astro AWANI

Bagaimanapun katanya sehingga kini, tiada apa-apa tindakan yang dibuat meskipun jawapan yang diberikan MPKj menerusi laporan itu pada 4 Disember adalah 'diselesaikan'.

"Kita mula-mula kita dapat kesan (runtuhan) pada 26 November, iaitu mula dengan runtuhan kecil. Kemudian pada 1 Disember, persatuan penduduk telah buat aduan melalui atas talian ke laman sesawang MPKj.

surat
Jawapan MPKj yang mengatakan laporan telah 'diselesaikan'. - Sumber Foto Kyairul Hassme

"Dan pada 4 Disember, kami mendapat maklumbalas dari MPKj bahawa laporan itu dah 'diselesaikan'," kata Kyairul Hassme kepada pemberita siang tadi.

Namun, salah seorang penduduk, Helme Hanafi bertindak membuat aduan terus kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi laman Twitter pada 5 Disember.

'Aduan' tersebut disusuli dengan tindakan segera Jabatan Kerja Raya (JKR) pada keesokan harinya (6 Disember) dengan menutup kawasan tersebut sebagai amaran supaya tidak memasukinya.

pengadang jkr
Penghadang yang dipasang JKR bagi menutup jalan. - Foto Astro AWANI

"Sehingga malam tadi JKR telah datang dan memasang pengadang untuk menutup jalan ini. Tetapi saya dimaklumkan JKR pun tidak boleh buat apa-apa disebabkan ia tanggungjawab MPKj," katanya.

Sementara itu, penduduk Bandar Bukit Mahkota turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap penyelenggaraan pihak pemaju perumahan dan juga MPKj.

Persatuan Penduduk Bukit Mahkota
Kyairul Hassme mengutarakan permasalahan penduduk kepada pemberita. - Foto Astro AWANI

Menurut Kyairul Hassme, penyelenggaraan rumput serta longkang didapati tidak memuaskan.

Selain itu, katanya jalan utama kawasan itu juga kerap menjadi laluan bagi kenderaan-kenderaan berat seperti lori simen sehingga menyebabkan jalan itu menjadi berlubang dan rosak.

Jalan rosak Bandar Bukit Mahkota
Jalan yang rosak akibat laluan kenderaan berat. - Sumber foto Kyairul Hassme

"Lori angkut simen sebanyak 30 hingga 40 buah akan lalu di situ setiap hari untuk ke tapak pembinaan sebuah pembangungan projek baru yang tidak jauh dari situ," jelasnya.

Kata beliau, Persatuan Penduduk Bandar Bukit Mahkota juga telah mengadakan perbincangan sebanyak tiga kali dengan pemaju perumahan, namun sehingga kini masih belum ada tindakan dari pihak pemaju untuk menangani masalah ini.