BATANG KALI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari keenam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers' Organic Farm, Gohtong Jaya, di sini ditangguhkan kira-kira 10 malam ini dan akan bersambung semula pada 8 pagi esok.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah mengesahkan perkara itu kepada Bernama berkata, penangguhan operasi itu dibuat atas faktor keselamatan selain faktor cuaca.

"Ya, stand down pada malam ini dan bersambung esok pada 8 pagi," katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama setakat 10.20 malam di Pos Kawasan Tempat Kejadian (PKTK) mendapati pengamal media beransur pulang secara berperingkat.

Operasi pencarian yang memasuki hari keenam hari ini berjaya menemukan satu mayat lelaki dewasa pada 11.16 pagi tadi di sektor B (kem Farmview).

Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi Jumaat lepas di tapak perkhemahan itu setakat ini menyaksikan 61 orang selamat, 26 terkorban dan tujuh lagi masih hilang daripada keseluruhan 94 mangsa.

-- BERNAMA