IPOH: Perak bersiap sedia menghadapi risiko gelombang kedua banjir yang mungkin melanda negeri ini dengan jangkaan taburan hujan yang tinggi berlaku di kawasan Hulu Perak.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pihaknya telah meminta Pegawai Daerah Hulu Perak melakukan persiapan yang sewajarnya bagi menghadapi banjir gelombang kedua.

"Jika hujan lebat berlaku di Hulu Perak, air di Empangan Temenggor akan melimpah ke Sungai Perak jadi mahu tidak mahu empangan akan melepaskan air secara berperingkat dan boleh menyebabkan banjir," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) Program Rimba Raid antara Tourism Management Berhad dan Rimba Adventured Sdn Bhd di sini hari ini.

Luruan angin sejuk atau luruan monsun yang dijangka melanda pada 8 hingga 14 Dis ini berpotensi membawa hujan lebat berpanjangan dan mencetuskan gelombang kedua banjir di negeri Pantai Timur Semenanjung.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata hujan lebat berterusan dalam tempoh berkenaan juga berpotensi melanda Sarawak dan Sabah selain negeri-negeri di barat Semenanjung apabila intensiti luruan adalah kuat selain luruan monsun akan turut menyebabkan angin kencang dan keadaan laut bergelora di Laut China Selatan.

Dalam pada itu, Saarani berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak telah membuat penilaian sekiranya berlaku tanah runtuh, jambatan atau jalan yang rosak akibat bencana banjir di negeri ini.

"Sekiranya ada (kerosakan), kerja baik pulih akan dilakukan segera selepas maklumat diperoleh," katanya.

Mengenai MoU berkenaan, Saarani berkata Lenggong dipilih sebagai lokasi penganjuran Rimba Raid yang merupakan perlumbaan motosikal lasak berkuasa besar selama tiga tahun berturut-turut bermula tahun ini.

Beliau berkata penganjuran acara seumpama itu mendapat sambutan yang sangat positif dan secara tidak langsung menjana ekonomi masyarakat setempat.

Dengan pemeteraian MoU itu, katanya perancangan yang strategik dan holistik dapat dilaksanakan dengan lebih teratur.

"Kerajaan negeri melihat acara Rimba Raid bukan sekadar acara sukan berprestij, tetapi juga sebagai pelaburan strategik yang memberikan pulangan signifikan kepada rakyat dan negeri," katanya.

-- BERNAMA