KOTA BHARU: Satu runtuhan sepanjang hampir 50 meter berlaku di tebing Sungai Kelantan berdekatan sebuah pangsapuri dan hotel di Jalan Post Office Lama di sini hari ini.

Runtuhan itu menyebabkan laluan pejalan kaki dan rekreasi turut runtuh pada ketinggain hampir 10 meter.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata pihaknya menerima maklumat berlaku runtuhan itu kira-kira 1 tengah hari dan sepasukan anggota telah dikerah ke lokasi kejadian.

"Polis telah meletakkan garisan polis di sekeliling kawasan berkenaan bagi mengelakkan orang ramai mendekati kawasan runtuhan.

"Orang ramai diminta untuk tidak berada di kawasan runtuhan sama ada untuk mengambil gambar atau melihat lebih dekat runtuhan tersebut," katanya kepada Bernama.

Seorang penduduk Che Abdullah Che Mohamad, 69, berkata runtuhan itu berkemungkinan disebabkan hakisan akibat banjir baru-baru ini.

"Jika dilihat kepada arus air yang deras saya pasti hakisan banyak berlaku di bahagian bawah hingga menyebabkan tanah atau pasir tebing dibawa arus,” katanya.

Shamsuddin Yassin, 70, yang sering beriadah di kawasan berkenaan berkata dia amat terkejut melihat kesan runtuhan itu dan berharap dapat dipulihkan dengan segera kerana boleh mendatangkan risiko terhadap bangunan lain yang terletak berdekatan tebing Sungai Kelantan itu.

-- BERNAMA