Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA), Aman Pak Ngah berkata akibat kejadian, penduduk tidak dapat pergi ke bandar Gua Musang untuk urusan harian dan membeli barangan keperluan.
"Sebelum ini kami boleh guna motosikal untuk ke bandar Gua Musang tetapi bermula Jumaat lepas kami (penduduk) tidak boleh keluar akibat tanah runtuh kira-kira 100 meter selepas Kampung Gawin kerana hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lepas.
"Semalam kumpulan pacuan empat roda (4WD) yang cuba masuk menggunakan motosikal untuk menghantar bekalan makanan terpaksa berpatah balik kerana jalan sudah ditimbus dengan tanah runtuh," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Penduduk Kampung Gawin, Amat Jali, 45, berkata dia antara lima penduduk yang terpaksa bermalam di hutan untuk keluar ke bandar Gua Musang.
"Saya bersama lima rakan menempuh perjalanan selama dua hari satu malam untuk keluar membeli bahan makanan kerana hanya motosikal sahaja yang boleh melalui jalan Pos Gob berikutan keadaan jalan berselut dan rosak.
"Ketika ini penduduk bukan sahaja terputus jalan perhubungan malah memberi kesan terhadap sumber pendapatan kerana tidak dapat ke perkampungan lain untuk membeli dan mencari hasil hutan dan tanaman," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan dan Terengganu Roslina Bun berkata faktor cuaca yang sentiasa hujan menjadikan kerja baik pulih jalan tergendala seketika namun pihaknya akan melaksanakan kerja tersebut dalam masa terdekat.
"Pihak JAKOA akan masuk (Pos Gob) untuk membuat kerja-kerja baik pulih jalan dan membersihkan tanah runtuh sebaik sahaja jalan kering dan cuaca kembali cerah. Untuk itu kami akan menggunakan kaedah sapu jalan terlebih dahulu," katanya.
-- BERNAMA