PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil tidak menolak kemungkinan pandangan mengenai tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak akan dibincangkan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pulang ke tanah air.

Fahmi berkata, Anwar dijangka pulang daripada lawatan rasmi di luar negara pada minggu depan.

"Tidak dibincangkan (pada mesyuarat kabinet), mungkin apabila Anwar kembali ke tanah air minggu depan," katanya menerusi sidang akhbar di sini pada Rabu.

Anwar menerusi wawancara bersama Bloomberg dalam Forum Ekonomi Qatar (DEF) 2024 di Doha pada Selasa berpandangan bahawa Yang di-Pertuan Agong perlu mempertimbangkan tahanan rumah kepada bekas Perdana Menteri Ke-6 itu selepas kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selesai.

Bagaimanapun, beliau menegaskan hanya akan memberi cadangan tersebut jika diminta oleh Seri Paduka Baginda.

Dalam pada itu Fahmi berkata, beliau percaya apa dimaksudkan oleh Anwar adalah mengikut proses.

"Itu yang beliau sebut," katanya.

Najib, 70, sebelum ini memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Susulan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum itu.

Titah Adendum berkenaan supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu turut didenda RM210 juta.

Terdahulu, Fahmi memaklumkan mesyuarat kabinet yang berlangsung dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. - Sinar Harian