KLUANG: Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah berikrar untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat selepas memperoleh mandat besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota semalam.

Syed Hussien, 40, berkata kesemua isu dibangkitkan penduduk setempat sepanjang tempoh berkempen seperti soal kos sara hidup, perumahan, pendidikan dan banjir kilat akan menjadi antara fokus utama beliau selaku wakil rakyat kawasan tersebut.

"Saya percaya kerajaan negeri sangat konsisten dari segi soal dasar dan pelan yang membawa kepada kesejahteraan rakyat dan saya akan membincangkan isu yang dibangkitkan dengan pihak sewajarnya selain turut memberikan tumpuan supaya DUN Mahkota tidak ketinggalan merasai limpahan agenda Maju Johor 2030.

"Isu banjir kilat, sebagai contoh tindakan berkaitan telah dan sedang dilaksanakan selain ada tindakan (untuk mengatasi masalah itu) telah diumumkan. Isu ini (banjir) antara fokus saya untuk dibawa pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang," katanya.

Syed Hussien berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui pada sesi ramah mesra bersama warga Mahkota di Laman Kreatif di sini hari ini, yang antara lain untuk beliau berterima kasih kepada pengundi kawasan DUN itu yang 'menghadiahkan' beliau majoriti besar 20,648 undi semalam.

Majoriti besar daripada pelbagai lapisan masyarakat itu menurut Syed Hussien secara tidak langsung memberikan isyarat bahawa pendekatan politik yang agresif dan bersifat memecahbelahkan perlu dihentikan.

"Apa yang penting ialah soal rakyat, bagaimana kita hendak menjaga kepentingan mereka. Ini memberikan inspirasi kepada saya untuk terus berkhidmat dengan cara lebih muhibah, dengan konsep lebih kekeluargaan untuk membawa Kluang ke arah lebih baik," katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus membantu menjayakan kempen sejak hari pertama pada 14 Sept lepas dan mereka yang memastikan proses pengundian berjalan lancar sehingga tamat pengumuman rasmi keputusan PRK itu.

Terdahulu, Syed Hussien menziarahi pusara ayahnya, Syed Abdullah Syed Abdul Hamid di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu di sini. Allahyarham meninggal dunia empat hari sebelum proses penamaan calon.

PRK DUN Mahkota menyaksikan Syed Hussien selaku wakil Kerajaan Perpaduan meraih 27,995 undi jauh mengatasi pencabar daripada Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar yang sekadar memperoleh 7,347 undi.

-- BERNAMA