KLUANG: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota semalam jelas memberi isyarat bahawa politik sempit, retorik dan emosi tidak mendapat tempat dalam kalangan pengundi di Johor, menurut beberapa pemerhati politik.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mujibu Abd Muis berkata kemenangan BN dengan majoriti 20,648 undi itu menunjukkan pengaruh Perikatan Nasional (PN) masih tidak kukuh di Johor, juga disebabkan faktor tersebut.

"Johor sebuah negeri yang agak terbuka dan progresif, menjadikan politik yang berbentuk sedemikian tidak diterima, berbanding negeri Malay Belt yang masih konservatif dan tradisional. Pendekatan yang digunakan PN semasa berkempen, secara umumnya sudah boleh diagak oleh pengundi.

"Seharusnya kempen perlu mengikut demografi kawasan kerana psikologinya berbeza. Di Johor perlu bawa sesuatu yang baharu kerana untuk memancing (undi) di kawasan bercampur, umpannya ialah isu yang lebih besar, bukan dengan politik bersifat identiti," katanya kepada Bernama semasa dihubungi di sini hari ini.

Mujibu berpandangan pendekatan BN mengetengahkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah sebagai calon baru dan muda, juga menunjukkan housekeeping dilakukan UMNO di bawah Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 mula membuahkan hasil.

Walaupun tindakan seperti meletakkan orang baharu pada PRK dilihat tidak popular dan merugikan dalam jangka pendek, namun ia perlahan-lahan membawa perubahan dalam membersihkan unsur 'warlord' parti, yang baik untuk jangka masa panjang UMNO.

"Kalau ini menjadi trend dan UMNO semakin berani menngetengahkan lebih ramai calon muda dan calon wanita yang berkebolehan, parti akan dapat mengembalikan sokongan dan semakin kuat menjelang PRU akan datang," katanya.

Sementara itu Penganalisis Sosiopolitik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) Prof Awang Azman Awang Pawi juga senada, bahawa kemenangan bergaya BN menunjukkan penolakan terhadap PN, yang turun dengan pendekatan terlalu bergantung kepada retorik agama dan etnik dalam propaganda politik.

Beliau berkata tindakan itu meningkatkan persepsi pembangkang terlalu menumpukan kepada naratif memecahbelahkan, yang boleh mengasingkan segmen pengundi lebih sederhana dan berbilang kaum seperti di Johor, negeri yang lebih urban dan progresif.

Serangan terhadap Syed Hussien yang dibangkitkan pada hari-hari terakhir kempen, disifatkan Awang Azman sebagai taktik lama dan usaha terdesak politik untuk merosakkan kredibiliti dan reputasi lawan, yang akhirnya memakan diri.

"Sama ada taktik seperti ini berjaya atau tidak, bergantung kepada sejauh mana pengundi menilai kredibiliti pendedahan itu, sama ada mereka melihatnya sebagai usaha yang berpolitik murahan untuk mendapat perhatian atau semata-mata manipulasi politik.

"Jika masyarakat melihat tindakan PN sebagai tidak lebih daripada serangan politik tanpa asas kukuh, ini berpotensi memberikan kesan buruk kepada imej mereka, terutamanya dalam konteks politik Johor yang stabil dengan masyarakat yang semakin matang dalam membuat penilaian politik," katanya.

Awang Azman juga berpandangan naratif BN pada PRK itu yang lebih konstruktif dan berfokus kepada dasar pembangunan dan polisi kepada aspek seperti pembangunan ekonomi, penambahbaikan infrastruktur dan kebajikan rakyat, menunjukkan mereka memahami demografi kawasan yang sedang dihadapi.

Kemenangan itu juga perlu dikreditkan kepada Ahmad Zahid yang dapat memastikan jentera BN dan Pakatan Harapan (PH) bergerak seiring, yang akhirnya diterjemahkan dalam kotak undi oleh akar umbi kedua-dua parti tersebut.

Mengulas mengenai peratusan keluar mengundi yang rendah, iaitu 53.84 peratus berbanding hampir 58 peratus pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022, Awang Azman berkata peratusan besar pengundi luar menyumbang ke arah itu, selain perasaan selesa pengundi yang telah menjangkakan kemenangan BN.

Sementara itu Penganalisis Politik dari Universiti Teknologi Malaysia Profesor Madya  Mazlan Ali berkata kemenangan semalam menunjukkan keyakinan orang Melayu kepada UMNO semakin meningkat, mengambil kira ia kejayan kedua selepas PRK Nenggiri, Kelantan pada Ogos lepas.

"Pada saya majoriti yang besar dua kali berturut-turut memberi isyarat bahawa UMNO sudah mencapai tahap hampir pulih daripada ketegangan dalaman parti sebelum ini sehingga ada yang bertindak menyokong pembangkang apabila sebahagian ahlinya beralih kepada PN," katanya.

Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan itu juga menyifatkan kerjasama pengundi BN dan PH yang menabur setia kepada parti masing-masing untuk 'memangkah' calon Kerajaan Perpaduan menyerlahkan kemantapan hubungan kedua-dua parti tersebut.

Pengukuhan dua gabungan itu yang telah bermula pada beberapa siri PRK sebelum ini, menurut Mazlan akan menjadi agenda penting kerajaan selepas ini bagi memastikan ia berterusan sehingga PRUke-16.

"Kerjasama ini nampak ada unsur keikhlasan kerana DUN Mahkota pernah dimenangi PH pada PRU 2018, namun penyokong mereka akur dan memilih calon BN sehingga memperoleh majoriti lima angka tanpa ada unsur sabotaj, tidak ada unsur kekecewaan sebaliknya memberikan kerjasama sepenuhnya," katanya.

PRK DUN Mahkota menyaksikan BN mempertahan kerusi itu selepas Syed Hussien menang bergaya dengan majoriti 20,648 undi selepas mendapat 27,995 undi, jauh meninggalkan pencabar daripada PN Mohamad Haizan Jaafar yang sekadar memperoleh 7,347 undi.

DUN Mahkota mula dipertandingkan pada 2004 dan telah melalui lima pilihan raya sebelum ini, dengan empat daripadanya dimenangi BN.

-- BERNAMA