KUALA LUMPUR: Syarikat-syarikat swasta digesa untuk mencontohi langkah Khazanah Nasional Bhd menetapkan gaji minimum RM3,000 sebulan untuk pekerjanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengakui kepentingan syarikat swasta untuk mencatatkan keuntungan, namun pada masa sama, harus ada iltizam daripada pihak pengurusan syarikat swasta untuk menjamin keselesaan pekerja mereka.

"Ya, semua syarikat harus mencatatkan keuntungan, tetapi ibarat kata seorang pemimpin Indonesia Mohammad Natsir, 'janganlah sambil membangunkan gedung, mencatatkan keuntungan, tetapi kita robohkan nilai kehidupan anak bangsa yang bekerja'.

"Biarlah ada sedikit kefahaman mengenai apa nilai kemanusiaan dan apa nilai keadilan, ini melangkaui tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan Khazanah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-30 Khazanah, di sini pada Selasa.

Anwar berkata, langkah Khazanah itu juga selaras dengan pengumumannya baru-baru ini mengenai pelarasan gaji penjawat awam untuk menerima pendapatan bulanan tidak kurang daripada RM2,000.