Tidak ada Perdana Menteri negara ini yang saya percaya lebih memahami makna dan peranan kebudayaan dan kesenian selain daripada YAB Datuk Seri sendiri. Saya juga percaya minat dan kecenderungan Datuk Seri terhadap kebudayaan, kesenian dan sastera bukan secara berpura-pura, tetapi jujur dan tulen.
Tradisi kebudayaan dan kesenian kita dalam krisis. Kita bukan kurang budayawan dan seniman. Kita kurang dukungan pemerintah dan naungan pihak swasta. Pimpinan politik kita rata-rata buta budaya dan seni. Pentadbir kita bukan pengurus budaya (cultural managers) seperti sepatutnya. Maka itu seni budaya tidak secukupnya terbela.
Sekurang-kurangnya sastera dan sasterawan punya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Tetapi seni dan budaya tiada beribu dan berbapa. Sebelum ini sekurang-kurangnya ada kementerian yang di dalam nama rasminya tercatat “kesenian dan kebudayaan” walaupun ditulis bersekali dengan perkataan “pelancongan.”
Maka itu wujudlah sedikit sebanyak perhatian yang diberikan pada apa yang didefinisikan oleh para birokrat sebagai “kesenian dan kebudayaan.” Malangnya bahagian yang membabitkan “kesenian dan kebudayaan” dalam kementerian tersebut jelas dipencilkan dengan biaya yang terlalu sedikit. Keutamaan kementerian berkenaan tentunya untuk membuat promosi besar-besaran bagi menarik pelancong yang khabarnya membawa masuk RM50 bilion setahun.
Saya secara peribadi banyak kali menegur bahawa tidak mungkin berlaku keserasian di antara “pelancongan” dengan “kesenian dan kebudayaan”. Ini bukan bermakna bahawa pelancongan tiada kaitan dengan kebudayaan dan kesenian. Malah kita boleh belajar dari Pulai Bali di Indonesia tentang bagaimana pulau itu “menjual” seni budaya sebagai tarikan utama untuk pelancong selain menjanjikan keindahan alam sekitarnya.
Tetapi dalam kabinet Datuk Seri entah mengapa “kesenian dan kebudayaan” itu hilang begitu sahaja. Yang tinggal hanya “pelancongan”. Maka para seniman dan budayawan bertanya, “seni dan budaya, di mana sebenarnya?” Apakah fungsinya diagih-agihkan pada kementerian lain, yang mungkin oleh penelaah budaya dan penggiat seni, terlepas pandang?
Malah mereka bertanya mengapa calitan “kesenian dan kebudayaan” yang ada pada kementerian yang terdahulu (walaupun setakat status menumpang) terus hilang dari radar keutamaan negara.
Datuk Seri tentu lebih faham makna pembinaan negara bangsa dan upaya membina tamadun. Juga perlunya kita mendukung tradisi kesenian dan kebudayaan leluhur.
Budayawan dan seniman amat faham keutamaan untuk memaju negara, menangani isu kemiskinan dan kenaikan kos hidup serta usaha menarik pelaburan asing pada masa ini.
Tetapi janganlah abaikan budaya dan seni. Hakikatnya, selama ini terlalu banyak korban pada kebudayaan dan kesenian atas alasan agama, politik, kewangan, entah apa lagi. Semakin lama ruang lingkup seni budaya semakin mengecil dan terhakis.
Datuk Seri lebih maklum akan wujudnya pemahaman sempit tentang kebudayaan dan kesenian yang telah membunuh sekian banyak tradisi pengucapan seni budaya anak bangsa. Tidak ada gunanya kita menangisi hilangnya seni persembahan makyung, wayang kulit, menora, juga mulai terhapusnya kuda kepang, ketoprak, wang wong, wayang geduk dan entah apa lagi.
Seni dan budaya menjadi korban pertama apabila orang politik menjaja agama untuk membuktikan tahap keislaman mereka. Penyataan seni jadi bisu, beku malah ada kalanya mati terus. Dialog cerdik tentang kesenian juga ada kalanya ditakuti waima di menara gading. Penggiat seni merasa diri mereka terlalu kecil dan tidak dihargai.
Kita tahu bahawa seni budaya cerminan bangsa. Tradisi kesenian adalah barometer kemajuan minda mana-mana bangsa. Bangsa yang meminggirkan tradisi seni dan budayanya akan terus terpenjara dalam kekecilan minda dan kejumudan fahaman. Inilah krisis yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Dalam situasi politik yang tidak keruan lagi divisive, nampaknya yang jadi korban adalah pertumbuhan dan pengembangan seni budaya dan juga sastera.
Semasa hayatnya saya menemui novelis tersohor Indonesia, Pak Prameodya Ananta Toer. Saya minta pandangan jujur beliau tentang perbezaan di antara pembinaan jati diri bangsa Indonesia dan bangsa Malaysia. Secara bergurau kata beliau, orang Indonesia lambat maju ke hadapan oleh sebab mereka membawa bagej budayanya dengan penuh setia sedangkan orang Malaysia maju terus dengan meruntun akar budi budaya mereka.
Hari ini saya percaya dengan pandangan itu. Kita maju dengan simbol binaan batu, kemajuan ekonomi dan kemewahan peribadi. Indonesia mengambil masa menyaingi kita oleh sebab mereka membawa sekali jiwa dan nurani dalam melangkah ke hadapan.
Tidak hairanlah mereka meletakkan “pendidikan” dan “kebudayaan” sebagai nama sebuah kementerian. Sekian lama mereka punyai “Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan” walaupun akhir-akhir ini ditambah menjadi “Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Riset dan Teknologi Republik Indonesia.” (Kemdikbud-Ristek).
Mereka mahu mempertahankan “nalar publik” (public mindset) yang betul dalam konteks pembinaan anak bangsa yang patriotik, faham sejarah, berbahasa sama dan memahami seni budaya. Itulah tunjang patriotisme mereka. Oleh yang demikian teras pembinaan negara bangsa mereka patut kita cemburi.
Pembabitan saya secara langsung dalam seni dan budaya selama lebih 50 tahun mengajar saya bahawa cekrawala seni budaya semakin mengecil. Kecilnya bukan sahaja dari perhatian dan dokongan tetapi kecil wibawa dan wacananya. Lebih malang sekali tidak berlaku dokongan pemerintah seperti yang diharapkan.
Dan saya tahu kehidupan malang yang dilalui oleh banyak budayawan dan seniman. Juga kekecewaan mereka untuk melihat sumbangan mereka dihargai oleh negara. Malah kita sudah menghentikan Anugerah Seni Negara sejak sekian lama, satu-satunya penghormatan tertinggi untuk budayawan dan seniman kita.
Saya teringat hasrat Allahyarhamah Kak Kahtijah Awang untuk mementaskan makyung secara besar-besaran dan autentik. Saya memahami kekecewaan Dalang Dollah Baju Merah yang kehebatan seni wayang kukitnya hanya terbatas di Kelantan. Saya merasakan rintihan Allahyarham Rahman B, doyen bangsawan yang mahu mementaskan bangsawan sebelum akhir ayatnya. Kesemua hajat mereka tidak kesampaian.
Saya juga memahami bagaimana sukarnya aktivis seni budaya di kampung dan desa di seantero pelosok negara hari ini untuk meneruskan tradisi kesenimanan mereka.
Dan saya lebih memahami masalah seniman teater, muzik dan lainnya yang harus berdepan dengan badai kealpaan dan sikap tidak peduli para birokrat selain kurangnya sokongan dan pembiayaan swasta untuk mendukung kegiatan mereka. Seniman sedang marah-marah dan kecewa.
Kita semua tahu keupayaan seniman kita, dari yang di jalanan termasuk buskers dan kumpulan teater. Mereka boleh! Tetapi kita juga tahu bagaimana pentas-pentas seni utama kita yang tidak mungkin dapat diisi. Panggung Anniversari di Taman Botani Perdana menjadi gajah putih yang terbiar. Istana Budaya hanya menjadi binaan gah yang digunakan setahun entah beberapa kali.
Tanyakah berapa banyak kali telah digunakan panggung-panggung utama yang kita terdapat di Kuala Lumpur, dari Balai Budaya Tun Syed Nasir dan Auditorium DBP serta Stor Teater DBP. Juga sekian banyak panggung serta ruang yang disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), selain pentas eksperimen di menara gading.
Bilakah agaknya Kuala Lumpur benar-benar menjadi kota seni dan budaya?
Saya faham jawaban birokratiknya adalah memang terdapat bahagian dan jabatan yang memberikan sokongan, dana dan bantuan pada seniman. Tetapi aktivis seni tahu bahawa bantuan tidak datang secara mudah. Dana tersorok di antara sekian banyak jabatan dan institusi serta tabung yang bukan sahaja sukar ditelusuri tetapi pentadbirnya selalu mengambil sikap kurang membantu.
Lebih buruk lagi berlaku pertindihan kuasa di antara kementerian terbabit, misalnya di antara Kementerian Komunikasi dan Mutimedia (sekarang Kementerian Komunikasi Digital) dengan Kementerian Sains, Teknokogi dan Inovasi (sekarang Kementerian Sains dan Teknologi) dan juga Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (sekarang Kementerian Pelancongan). Ini masalah legasi yang belum selesai.
Saya juga percaya bahawa Datuk Seri mengerti tentang penting dan besarnya industri kandungan kreatif (creative content industry) di dunia hari ini. Ini merupakan industri berbilion ringgit. Ia melonjakkan banyak negara ke persada baharu ekonomi seperti yang terjadi pada Korea Selatan. Teknologi dan inovasi mencorakkan landskap kesenian dan kebudayaan semasa. Dunia hiburan berubah dengan dinamika baharu yang dimungkinkan oleh inovasi dalam dunia industri kandungan kreatif.
Semua itu berlaku oleh sebab strategi pemerintah yang betul, eko-sistem yang kondusif dan dana sokongan yang berpatutan. Ia memerlukan perancangan strategik jangka panjang oleh negara. Industri kandungan kreatif adalah industri masa depan yang harus kita berikan keutamaan.
Akhir kalam, ingatlah bahasa jiwa bangsa. Seni budaya akar jati diri negara bangsa. Jangan kita lupakan perlunya kita membina citra bangsa demi kesepaduan dan pemahaman pelbagai budaya yang kaya di negara ini. Keanekaragaman budaya adalah kekuatan dalam negara majmuk seperti kita. Akal budi dan bebijaksanaan sesuatu bangsa bermula daripada tradisi seni dan budaya yang subur dan tuntas.
Datuk Seri Perdana Menteri tentu lebih faham tentang itu.
* Tan Sri Johan Jaaffar adalah Tokoh Wartawan Negara. Beliau seorang aktivis seni selain penulis kreatif dan kolumnis. Buku beliau Jejak Seni: Dari Pentas Bangsawan ke Media Prima Berhad diterbitkan oleh DBP.
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.