Majlis Syura Ulama PAS akan menyerahkan surat keputusan rayuan kepada dua ahli Dewan Negeri (ADUN) PAS yang digantung keahlian mereka pada hari ini atau selewat-lewatnya esok.

Menurut Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh, meskipun keputusan terhadap rayuan dua ADUN itu telah pun dibuat, namun Majlis Syura Ulama enggan mendedahkan kandungannya sebagai tanda hormat kepada mereka.

"Kita akan hantar surat kepada dia dahulu, itu sebagai penghormatan kepada dia.

"Kita akan hantar surat keputusan kepada dua orang yang merayu, lepas itu baru kita beritahu," kata Nik Zawawi kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Syura Ulama di Pejabat Agung PAS Pusat, di sini, hari ini.

Tambahnya, kesemua ahli Majlis Syura juga sebulat suara bersetuju dengan keputusan yang diambil.

Jawatankuasa PAS Pusat pada 12 Oktober lalu membuat keputusan menggantung keahlian ADUN Hulu Kelang Saari Sungib dan ADUN Morib, Hasnul Baharuddin selama setahun ekoran tindakan mereka menandatangani surat akuan bersumpah menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal untuk jawatan menteri besar Selangor.

Bagaimanapun, mengikut fasal 83(4)(5) Perlembagaan PAS pindaan 2011, Saari dan Hasnul diberikan peluang untuk mengemukakan rayuan secara bertulis dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penggantungan dibuat kepada Majlis Syura Ulama parti.

Pada 29 September lalu, Saari dan Hasnul dipanggil untuk memberi penjelasan berhubung tindakan mereka yang dianggap bertentangan dengan keputusan Majlis Syura Ulama PAS pada 7 Ogos lalu yang mahu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikekalkan sebagai menteri besar selagi beliau tidak dibuktikan bersalah atas apa-apa tuduhan.

Dalam perkembangan lain, Nik Zawawi menyifatkan kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mendakwa PAS sebuah parti politik ajaran sesat, sebagai 'tidak berasas'.

"Itu kita tidak layan, dia pun bukan orang penting dalam parti... dalam negara pun tak ada apa. Tak apalah nak cakap pun, itu ucapan orang yang tak berasas," katanya.

Dalam sebuah laporan The Malaysian Insider pada Ahad, Tengku Adnan telah mendakwa bahawa PAS ialah sebuah parti politik yang membawa ajaran sesat dan memesongkan akidah umat Islam.

Sebaliknya, menurut beliau, Umno ialah parti Melayu yang memastikan akidah umat Islam di Malaysia tetap terpelihara.