TEMERLOH: Pas memberi autonomi penuh kepada pemimpin parti di Sabah dan Sarawak untuk memilih rakan gabungan yang dianggap bersesuaian untuk bekerjasama menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah, tahun depan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia berikutan landskap politik yang berbeza berbanding di Semenanjung Malaysia.

"Kita perlu lebih terbuka, dalam MN (Muafakat Nasional), Pas kekal dan tiada isu, cuma dalam konteks Sabah, pimpinan negeri lebih tahu keperluan di sana.

"Mungkin satu pendekatan yang sesuai boleh dilakukan di Sabah dalam muafakat politik dan parti akan teliti sebab saya tengok tentang autonomi," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Pas Pemuda kali ke-65 di Kompleks Al-Makmur, di sini semalam.

Sebelum ini media melaporkan, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan, PRN17 hanya akan diadakan selepas tamat penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada iaitu September tahun depan.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menjelaskan, pimpinan Pas melihat kepentingan menyerahkan hak mengurus kepada pemimpin parti negeri tersebut berikutan terdapat ahli yang dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Oleh yang demikian, beliau mencadangkan supaya sayap Pemuda memperbanyakkan libat urus bersama pelbagai pihak.

"UMNO juga beri autonomi untuk Sabah, kita tengok Pas sekarang sebahagian daripada kerajaan (di Sabah).

"Pas ada ADUN lantikan, dilantik oleh kerajaan negeri dan kita mendukung kerajaan di sana, tetapi PN (Perikatan Nasional) lain, sebab itu kita ada autonomi sendiri.

"Perlunya kita melebarkan pendekatan dalam NGO (badan bukan kerajaan) sebab ramai golongan profesional dia tidak terus kepada parti tetapi menyumbang kepada politik negara," ujarnya. - Sinar Harian