Kementerian Kesihatan sedang membangunkan dua lagi pusat darah masing-masing di Sungai Petani, Kedah dan Kota Kinabalu, Sabah.

Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata selain Pusat Darah Negara di Kuala Lumpur, dua pusat darah terbaharu itu akan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan perubatan transfusi bagi keperluan pesakit di kawasan tersebut.

"Selain daripada tujuan kutipan darah daripada penderma, kemudahan pusat darah baharu ini diwujudkan bagi memastikan pemindahan atau transfusi darah kepada pesakit adalah selamat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Malam Penghargaan dan Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan 2016 yang bertemakan 'Darah Menghubungkan Kita Semua', di sini malam tadi.

Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, Pengarah Perkembangan Perubatan Datuk Dr Azman Abu Bakar dan Pengarah Pusat Darah Negara Dr Noryati Abu Amin.

Terdahulu, Dr Subramaniam dalam ucapan perasmian berkata kesedaran rakyat Malaysia terhadap kepentingan pendermaan darah meningkat setiap tahun.

Pada 2015, sebanyak 704,054 beg darah telah berjaya dikutip berbanding tahun sebelumnya 675,315 beg darah.

"Malah lebih membanggakan apabila seramai 233,644 individu telah tampil menjadi penderma baharu pada tahun lepas manakala 472,770 orang merupakan penderma berulang," katanya.

Pada majlis itu beliau turut melancarkan aplikasi 'KwikBlood' yang merupakan projek kerjasama tanggungjawab sosial korporat oleh Syarikat Idaman Sistem Sdn Bhd dengan Pusat Darah Negara.

Aplikasi itu sebagai media alternatif dalam memberikan pendidikan dan informasi berkenaan Pusat Darah Negara dan perkhidmatan transfusi di seluruh negara.

Turut dilancarkan program 'Darah Satria' anjuran 1M4U yang akan diadakan di 20 lokasi seluruh negara bertujuan menggalakkan belia melibatkan diri dalam aktiviti kesihatan.