GAZA CITY: Penduduk Palestin di Semenanjung Gaza pada Ahad mengadakan kempen khas derma darah untuk membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

"Kempen ini menunjukkan solidariti kami kepada rakyat Turkiye dan Syria.

"Apa yang berlaku di Turkiye dan Syria turut memberi kesan kepada seluruh negara Arab dan Islam," kata pengarah eksekutif Institut Al-Amal untuk Anak-anak Yatim, Iyad al-Masri yang menganjurkan kempen derma darah itu, lapor Agensi Anadolu.

Bertemakan "One Body" al-Masri berkata kempen sehari itu "menghantar mesej kasih sayang dan keamanan untuk semua."

Menurut angka rasmi terkini, lebih 33,000 orang terbunuh dan lebih 80,000 lagi cedera akibat dua gempa bumi kuat yang menggegarkan selatan Turkiye Isnin lepas.

Gempa bumi bermagnitud 7.7 dan 7.6 yang berpusat di wilayah Kahramanmaras itu menjejaskan 13 juta orang di 10 wilayah di Turkiye dan gegarannya turut dirasai di beberapa negara di rantau itu.

Di Syria, sekurang-kurangnya 3,574 orang terbunuh manakala lebih 5,290 yang lain cedera.

-- BERNAMA