PASIR GUDANG:Insiden pencemaran di Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang, Johor hampir memasuki tahun kedua.

Namun, insiden yang mula dikesan pada 7 Mac 2019 itu kembali menghantui penduduk sekitar yang mendakwa masih dapat menghidu bau gas yang cukup menyesakkan itu.

Astro AWANI bertemu dengan beberapa penduduk di kawasan perumahan berhampiran selain melakukan tinjauan di banjaran sungai.

Hasil pemerhatian mendapati paras air di sungai tersebut semakin cetek berbanding ketika peristiwa pencemaran Sungai Kim Kim berlaku dahulu.

Seorang penduduk yang ditemui Astro AWANI berkata kebersihan sepanjang jajaran Sungai Kim Kim hingga hari ini masih diragui penduduk.

Mohd Asraf Abdul Halim mengakui terjejas dengan bau gas berkenaan, namun terkilan kerana tiada sebarang tindakan segera dilakukan pihak berkuasa walaupun komuniti penduduk telah membuat aduan.

“Baunya… saya pun tidak pasti kerana baunya berbeza-beza. Kadang-kala bau macam tatkala musim hujan kilang melepaskan gas.

"Sekarang ini musim hujan, pada waktu pagi dia jarang berbau, tetapi biasanya pada waktu malam, pasti berbau.

“Saya ada anak kecil, jadi ia menjadi satu benda yang sangat merisaukan dan benda itu akan menjejaskan kesihatan kami dan mengganggu kehidupan harian kami.

“Malam-malam, di rumah saya, apabila kami buka pintu gelangsar, bau yang kurang menyenangkan itu masuk ke dalam rumah,” katanya.

Sementara itu, Astro AWANI sempat menemui keluarga Norlela Abu Hashim, ibu kepada mangsa pencemaran Sungai Kim Kim iaitu Irfan Wafiy Idham Wazir.

Irfan yang sebelum ini normal disahkan positif Myokymia yang menyebabkan saraf kakinya menjadi lemah ekoran pencemaran sungai berkenaan.

Norlela memberitahu kesan bau gas yang kadang-kala boleh dihidu menjadikannya trauma hingga tidak membenarkan Irfan keluar sesuka hati.

“Mungkin ada yang cakap Irfan sakit sedikit sahaja tetapi yang rasa sakit bukan mereka, yang sakit itu Irfan yang kedua-dua kakinya kena.



“Memang Irfan nampak seperti anak yang kuat. Dia pernah beritahu saya 'potong kaki Irfan ini, Irfan tak nak kaki ini lagi kerana buatkan mama sedih.”

“Saya beritahunya, 'tak, mama tak sedih kerana Irfan ada dan mama kena kuat. Mama kuat untuk Irfan dan Irfan kena kuat untuk mama.

"Irfan kena kuat dan tunjuk Irfan pandai, buktikan kepada orang lain,” ujarnya.

Irfan, 14, pelajar Maktab Rendah Sains MARA Johor Bahru, bagaimanapun melahirkan rasa syukur kerana mendapat sokongan daripada rakan-rakan lain.



“Sudah lebih kurang setahun lebih, dari luaran kelihatan keadaan saya elok tetapi penyakit saya tiada ubat yang dapat menyembuhkannya.

“Nak rasa kesal sudah tiada gunanya dan tiada cara untuk pujuk.

“Saya cuma bermain dengan kawan-kawan dan adik-beradik supaya dapat mengalih perhatian daripada perasaan tidak elok itu,” dedahnya.

Pencemaran toksik di Sungai Kim Kim yang berlaku 7 Mac tahun lalu telah menjejaskan 4,000 penduduk termasuk pelajar sehingga 111 sekolah pada ketika itu diarah tutup.