KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa mengesahkan beliau sudah dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu lepas susulan dakwaan jutaan ringgit diserahkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada UMNO ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, dua tahun lalu.

Tegas bekas Ahli Parlimen Ketereh itu, beliau sudah membuat penjelasan penuh kepada SPRM berhubung cerita sebenar berhubung dakwaan tersebut.

“Saya sudah memberi kenyataan kepada SPRM minggu lepas. Saya sebenarnya sangat lega sekali kerana sekali lagi fitnah yang di luar itu tak dapat saya kawal.

"Mereka kata saya masuk bilik tidur duit berlongok-berlonggok ambil berjuta-juta ringgit, bawa duit kemana-mana, patutlah kuat sokong Muhyiddin Yassin kerana Muhyiddin Yassin bagi duit.

“Bila SPRM panggil saya untuk beri keterangan, saya sangat suka hati dan saya beritahu semua jalan cerita sebenarnya yang telah saya lalui. Saya ucap terima kasih dan akan terus beri kerjasama kepada SPRM, itu tanggungjawab saya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas Muafakat Nasional, di sini, pada Khamis.

Media sebelum ini melaporkan SPRM sedang menyiasat dakwaan Annuar berhubung bekas Perdana Menteri, Muhyiddin menyalurkan UMNO jutaan ringgit bagi membantu parti itu ketika PRN Sabah pada 2020.

SPRM membuka kertas siasatan berhubung dakwaan bekas Setiausaha Agung Umno itu dan akan memanggil Muhyiddin serta Annuar untuk disoal siasat.

Sebelum ini Annuar dalam satu video di TikTok berkata, Muhyiddin yang ketika itu menjadi Perdana Menteri menyalurkan jutaan ringgit bagi membantu UMNO dalam PRN 2020.

Beliau membangkitkan perkara itu ketika membuat penjelasan terhadap tuduhan kononnya Muhyiddin yang juga Pengerusi PN mahu ‘bunuh’ UMNO juga adalah ‘bohong dan palsu’.