SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan selamat menyambut Maulidur Rasul 1446H kepada seluruh umat Islam khususnya di negeri ini.

Ucapan berkenaan dimuat naik menerusi hantaran Facebook Selangor Royal Office.

Sultan Sharafuddin turut menyeru seluruh umat Islam agar terus menguatkan kecintaan kepada Rasulullah SAW dengan mengamalkan sunah-sunah baginda.

Untuk mencintai Rasulullah SAW, Sultan Selangor bertitah bahawa umat Islam perlu mengenali keperibadian dan sirah perjuangan Rasulullah SAW.

"Mencintai Rasulullah SAW wajar dimulai dengan menjadikan baginda sebagai suri teladan dalam setiap aspek kehidupan, mengakui kebenaran yang dibawa, mengkaji kehebatan serta mengagungkan kemuliaan dan kebesaran Nabi Muhammad sebagai pesuruh Allah SWT.

"Mencintai dan mengasihi Rasulullah SAW bukan semata-mata mengingati kelahiran baginda pada 12 Rabiul Awal sahaja, ia hendaklah disematkan di dalam jiwa dan setiap detik nadi yang berdenyut," titah Sultan Sharafuddin.

-- BERNAMA