TAIPING: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2024 peringkat negeri di Dataran Warisan Taiping di sini hari ini.

Keberangkatan tiba baginda pada 2.30 petang itu diiringi Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Turut berangkat, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah, Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer Zubin.

Pada sambutan itu, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan menggaul Yee Sang sebagai simbolik sambutan perayaan berkenaan.

Kira-kira 5,000 tetamu yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum yang hadir dihiburkan dengan pelbagai persembahan antaranya tarian singa, tarian naga dan pukulan gendang serta tarian kipas.

Sementara itu, Saarani dalam sembah ucapannya berkata masyarakat perlu mengelakkan perbuatan atau tutur kata yang boleh menimbulkan rasa curiga dan prasangka.

"Hindarilah isu-isu yang boleh meniup api kebencian dan permusuhan. Sama-samalah kita menolak sentimen yang boleh membawa kepada perpecahan dan perbalahan.

"Mudah-mudahan, berkat keprihatinan dan pedoman berterusan daripada Paduka Seri Tuanku, seluruh anggota pentadbiran kerajaan akan terus bahu-membahu, menggembleng usaha memelihara kestabilan, mengangkat polisi negeri yang berkemajuan, supaya setiap misi, gagasan dan sasaran yang kita gariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030, akan dapat kita jayakan," katanya.

Saarani juga berkata walaupun banyak petunjuk ekonomi membayangkan tahun ini akan menjadi tahun yang mencabar, namun pentadbiran kerajaan negeri optimis dan berganding bahu memperkuat asas-asas ekonomi negeri mencipta ruang dan peluang, supaya Perak kekal menjadi negeri makmur dan berdaya tahan.

Katanya semangat kerukunan dan kebersamaan antara rakyat serta kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, keamanan dan kestabilan dapat diwujudkan supaya rakyat dapat terus berkongsi rezeki, kemakmuran dan kejayaan.

"Sempena hari yang berbahagia ini, saya menyeru kita semua, memperteguh semangat kebersamaan antara kita, mengeratkan ikatan perpaduan, memperkuatkan jalinan kerjasama dan menyuburkan nilai kasih sayang sesama supaya dapat mengekalkan keamanan dan keharmonian yang telah kita bina selama ini," katanya.

-- BERNAMA