TAMBUN: Seorang pengawal keselamatan berasa buntu apabila usaha mencari isteri tercintanya yang hilang sejak 2 September lalu, gagal ditemui.

Muhammad Noor Mohd Ali Osman, 28, berasa bimbang selepas isterinya, Nur Izzati Khairuddin, 27, gagal dihubungi dan tidak pulang ke rumah selepas keluar untuk mengutip besi lusuh.

Menurutnya, kehilangan isterinya secara tiba-tiba menjadi tanda tanya apabila tiada sebarang perselisihan faham berlaku antara mereka.

"Saya risau sebab dia hilang sudah lebih sebulan. Kalau dia terbaca (berita) ini saya minta baliklah, anak-anak sangat rindu.

"Walaupun marah dengan saya atau ada masalah bukan begini. Saya harap kalau ada orang jumpa atau kenal diminta hantar dia ke balai," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Menurutnya, anak sulung mereka berusia enam tahun sudah memahami kehilangan ibu mereka manakala dua lagi anaknya masing-masing berusia dua tahun dan 10 bulan masih belum mengerti dan menganggap ibu mereka keluar bekerja.

Tambahnya, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Tanjung Rambutan pada hari kejadian selepas pengasuh memaklumkan isterinya tidak datang untuk ambil anak mereka.

"Waktu pagi kejadian, saya kejutkan dia salam dan peluk sebelum keluar bekerja. Isteri juga ada mesej maklumkan anak sudah hantar ke pengasuh. Saya ada minta duduk rumah kalau penat, dia hanya balas emoji sedih.

"Beberapa jam kemudian, dia ada lalu depan tempat saya bekerja dengan menaiki motosikal jenis Honda RS150 dan sempat bunyikan hon ketika saya pasang bendera.

"Dalam jam 9 malam saya tergerak hati mesej pengasuh dan dia hantar gambar anak-anak sedang tidur. Saya terus cemas minta majikan untuk keluar awal sebelum membuat laporan di balai," katanya.

Muhammad Noor berkata, motosikal itu ditemui semula pada 26 September lalu selepas empat minggu isterinya hilang.

"Hairan motosikal ada kat pekan (Ipoh) sedangkan kawasan dia kerja di Taman Ampang dan Tanjung Rambutan.

"Saya rasa motosikal itu mungkin baru letak jadi saya ambil keputusan hubungi polis dan bantu cari di kawasan sekitar termasuk hotel berhampiran tetapi dia tidak ditemui," katanya.

Ujarnya, usaha mencari isterinya itu masih diteruskan di sekitar kawasan bandar raya Ipoh meskipun tidak mempunyai sebarang petunjuk.

Nur Izzati yang mempunyai ketinggian sekitar 150 sentimeter kali terakhir dilihat baju T, berseluar slek dan memakai tudung berwarna coklat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Nur Izzati boleh menghubungi Muhammad Noor di talian 014-3009501 atau menghubungi balai polis berhampiran. - Sinar Harian