Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Jeffrey Kitingan berkata penstrukturan semula itu meliputi cadangan pewujudan tiga sub-regional authority, meliputi Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
"Saya difahamkan keadaan ini sama dengan General Civil Aviation Authority (GCAA) of UAE dengan SubRegional Authority untuk Dubai, Abu Dhabi dan Sharjah," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.
Ahli Parlimen Keningau itu berkata harga tiket yang tinggi hingga mencecah RM1,000 sehala telah mengurangkan jumlah pelancong ke Sabah dan Sarawak, sekali gus menjejaskan ekonomi setempat.
Sehubungan itu beliau berharap Kerajaan Persekutuan dan menteri berkenaan mengambil tindakan untuk menangani isu pengurangan penerbangan dan harga tiket penerbangan yang mahal.
Sementara itu, Datuk Matbali Musah (GRS-Sipitang) menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menambah peruntukan pembangunan Sabah kepada RM6.7 bilion menerusi pembentangan Belanjawan 2025.
Beliau berkata perkara itu bukti Kerajaan Persekutuan berusaha memenuhi hak Sabah sepertimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sekali gus membolehkan negeri itu meneruskan projek pembangunan pada tahun terakhir pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) tahun depan.
Matbali berkata dengan kedudukan geografi Sabah yang mencabar, peruntukan itu sudah tentu tidak mencukupi namun memadai bagi mengimbangi jurang dan ketidakseimbangan yang berlaku setiap tahun.
Belanjawan 2025 juga, katanya, adalah mesej jelas kesungguhan kepimpinan di Putrajaya untuk terus berusaha merapatkan jurang pembangunan melalui penyediaan kemudahan asas seperti jalan raya, air dan elektrik.
-- BERNAMA