Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud ketika dihubungi Bernama berkata ruang udara Putrajaya akan ditutup dari 11 pagi hingga 12 tengah hari dari 26 Ogos hingga 28 Ogos untuk latihan penerbangan.
Beliau berkata, ruang udara di lokasi berkenaan turut ditutup dari 8.45 pagi hingga 9.45 pagi masing-masing pada 29 Ogos dan 31 Ogos untuk raptai penuh serta perarakan sambutan hari sebenar.
"Sehubungan itu, pengendalian dron di kawasan terlibat penutupan ruang udara sebelum dan pada Hari Kebangsaan adalah dilarang.
"Ia bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini terutamanya yang membabitkan aspek keselamatan orang awam dan pesawat yang sedang beroperasi," katanya.
Norazman berkata, aktiviti penguatkuasaan akan dilaksanakan oleh CAAM dan Unit Dron Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantau sebarang operasi dron tanpa kebenaran.
Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 pada 31 Ogos ini akan diadakan di Putrajaya dengan tema Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka. - BERNAMA