PUTRAJAYA: Sebuah pesawat latihan jenis Piper PA28-181 9M-SKF dilaporkan tersasar semasa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Kapten Norazman Mahmud yang mengesahkan kejadian itu berkata kejadian berlaku pada 4.09 petang membabitkan pesawat kendalian Malaysian Flying Academy (MFA).

"Insiden melibatkan seorang juruterbang pelatih dan beliau dilaporkan selamat.

"Pesawat terbabit dalam proses pengalihan dan pemeriksaan penuh landasan sedang dilaksanakan untuk memastikan keselamatan operasi lapangan terbang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Norazman berkata Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan akan menjalankan siasatan insiden mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

-- BERNAMA