Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menubuhkan pasukan khas bersama Jabatan Audit Negara susulan kelemahan dan ketirisan yang dibentangkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Pengarah Siasatan SPRM Pesuruhjaya Datuk Mustafar Ali berkata pasukan khas yang diterajui SPRM akan membentangkan hasil penemuan, pelan tindakan dan cadangan bagi mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang didapati melakukan salah laku rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan pemalsuan.

“Adalah tugas dan tanggungjawab SPRM untuk menyiasat kes-kes berunsur rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan yang termasuk diketengahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

“SPRM memberi perhatian terhadap isu-isu yang tertakluk di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009). Justeru, sekiranya ada-ada unsur rasuah, salah guna kuasa dan pelanggaran Peraturan- Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan Arahan Perbendaharaan, SPRM akan mengambil tindakan tegas sewajarnya termasuk mengesyorkan tindakan disiplin kepada agensi-agensi berkaitan,” kata beliau.

SPRM juga melihat penubuhan jawatankuasa khas, yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, sebagai satu usaha proaktif agar isu-isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara tidak berulang.

Susulan pembentangan Laporan Ketua Audit Negara 2012 di Parlimen pada 2 Oktober, lima kertas siasatan telah dibuka. Siasatan dijalankan di bawah peruntukan Akta SPRM 2009. Bagi Laporan Ketua Audit Negara 2011, sebanyak dua kes telah dibawa ke mahkamah manakala lima orang pegawai kerajaan telah dikenakan tindakan tatatertib.