KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah hari ini menahan seorang pegawai penguat kuasa sebuah jabatan yang disyaki menerima rasuah kira-kira RM120,000 bagi melindungi aktiviti penyeludupan rokok dan melepaskan barang penyeludupan.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 30-an itu ditahan pada 4 petang dalam operasi yang dijalankan oleh SPRM di Pekan Keningau.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut baru-baru ini dengan meminta rasuah bagi melindungi aktiviti penyeludupan rokok sekitar Keningau dan melepaskan lori serta barang seludup yang ditahan oleh jabatan berkenaan.

Pengarah SPRM Sabah Datuk S Karunanithy, ketika dihubungi pemberita, mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau juga berkata terdapat kemungkinan beberapa tangkapan susulan akan dibuat membabitkan kes itu.

-- BERNAMA