PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diletakkan di bawah Parlimen bagi mengelakkan badan penguatkuasaan itu terdedah kepada kuasa eksekutif atau pengaruh luar.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Tan Sri Rais Yatim menegaskan, meskipun cadangan itu sudah disuarakan sebelum ini, namun kali ini, beliau secara peribadi akan mendalami dan menyampaikannya kepada kerajaan dari sudut Perlembagaan.

"SPRM perlu diletakkan di bawah pengawasan Parlimen dalam skop menentukan capaian, keberkesanannya dan taraf keyakinan masyarakat.

"Sebabnya, jika SPRM terlalu terdedah kepada kuasa, pengaruh eksekutif dan pihak-pihak yang tidak berkaitan, maka SPRM juga akan terpengaruh dengan politik sosial dan pengaruh luar yang tidak terkawal," kata Yang Dipertua Dewan Negara itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas taklimat khas oleh pengurusan tertinggi SPRM di sini, pada Jumaat. 

Dalam pada itu, mengulas mengenai Rang Undang-undang Anti Lompat Parti yang dikemukakan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman, Rais menjelaskan, perkara itu sukar dilaksanakan dalam keadaan politik semasa kecuali jika mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, tegas beliau, dari segi amalan dan nilainya, tindakan melompat parti seharusnya diberhentikan segera.

Menurut Rais, perkara itu jika dibiarkan berterusan akan menjerumuskan negara kepada politik demi politik dan bukannya politik kepada rakyat.

"Melihat pada keadaan Parlimen (semasa) mungkin ia tidak praktikal dari segi politik nombor," ujarnya.

Undang-Undang | SPRM perlu diletakkan di bawah Parlimen


Rais menambah, Undang-undang Anti Lompat Parti harus disokong dan solusi jalan keluar pindaan Perlembagaan perlu diusahakan.

Dalam pada itu, beliau berpendapat, kerajaan wajar memperkenalkan subjekk anti rasuah dalam sukatan pelajaran peringkat sekolah dan universiti bagi menanamkan nilai serta integriti yang baik dalam kalangan generasi muda.

Katanya, pengenalan kurikulam itu dianggap sebagai agenda nasional yang serius bagi membolehkan pelajar mempelajari mengenai kesan negatif rasuah dan mengapa gejala itu tidak boleh diterima.