MELAKA: Empat individu termasuk dua beradik didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dan bersubahat dengan menyimbah cat terhadap harta milik peminjam wang, bulan lepas.

Muhamad Amir Suhaimi, 18, warga Indonesia Putri Noviana, 23, dan Musmuliadi Suhaimi, 43, mengaku tidak bersalah manakala Ahmad Zamarulhisham Suhaimi, 23, mengaku salah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhamad Amir dan Ahmad Zamarulhisham berdepan lima pertuduhan iaitu mencapai niat bersama melakukan khianat dengan menyimbah cat biru dan hijau terhadap pelbagai harta benda milik peminjam seperti kereta, motosikal dan kediaman sehingga mengakibatkan kerugian RM2,000.

Perbuatan terbabit dilakukan di Taman Limbongan Permai, Taman Bukit Rambai, Kampung Telok Bukit Katil, Taman Pantai Emas dan Taman Bukit Tasik Utama dalam daerah Melaka Tengah pada 11 dan 14 Julai lepas.

Kedua-duanya didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Musmuliadi dan Putri Noviana pula berdepan lima pertuduhan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama kerana bersubahat melakukan khianat.

Jika disabitkan kesalahan, kesemua tertuduh boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Fikri Hakim Zamri mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan, namun tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan atas alasan mempunyai tanggungan.

Majistret Nabilah menetapkan jaminan RM3,000 dan RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin manakala Putri Noviana yang diwakili peguam Nigel Tai tidak diberikan jaminan kerana merupakan warganegara asing dan mahkamah belum memperoleh dokumen perjalanan sah miliknya.

Mahkamah menetapkan 23 Sept depan untuk semakan fakta hukuman Ahmad Zamarulhisham dan serahan dokumen bagi tertuduh lain.

-- BERNAMA