MELAKA: Polis Melaka berjaya mematahkan satu sindiket 'along' atau ceti haram yang menyasarkan pelanggan sekitar Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka dengan tangkapan tujuh individu termasuk seorang wanita di Jalan Tun Perak di sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata mereka yang ditahan di sebuah kondominium itu termasuk seorang wanita dan berusia antara 18 hingga 48 tahun.

Beliau berkata sindiket itu menawarkan pinjaman wang antara RM500 hingga RM5,000 dengan kadar faedah sehingga 20 peratus seminggu.

"Siasatan polis mendapati sindiket tersebut beroperasi di premis berkenaan sejak enam bulan lalu dan mengiklankan tawaran pinjaman mereka menerusi laman sosial Facebook.

"Mereka juga menghubungi pelanggan yang berminat melalui panggilan menerusi aplikasi WhatsApp sebelum melakukan transaksi pindahan wang dalam talian ke akaun bank pelanggan mereka," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zainol berkata pelanggan juga diberikan satu akaun dipercayai 'akaun keldai' untuk transaksi bayaran balik pinjaman.

Polis juga merampas 14 telefon bimbit pelbagai jenama, tiga unit komputer, satu unit komputer riba dan 21 keping kad bank serta wang tunai berjumlah RM1,213, katanya.

Beliau berkata semakan juga mendapati empat daripada suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau.

"Kesemua suspek direman empat hari bermula hari ini hingga Sabtu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 kerana menjalankan perniagaan memberikan pinjaman wang tanpa lesen sah.

"Sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM250,000 hingga RM1 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

-- BERNAMA