SPRM dalam kenyataan berkata, selain itu, siasatan turut dilakukan berdasarkan Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
"Hasil dua laporan tersebut mendedahkan terdapat beberapa kelemahan antaranya aspek capaian liputan jalur lebar yang rendah, kelemahan teknologi infrastuktur, lokasi sekolah selain capaian jalur lebar yang tidak menyeluruh.
“Terdapat juga maklumat awam serta aduan daripada pihak tertentu mengenai projek ini yang gagal memberikan capaian jalur lebar dengan kelajuan sebagaimana dikehendaki dalam membantu proses pembelajaran di sekolah yang lebih efisein," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambah kenyataan, ditegaskan siasatan SPRM ini adalah berdasarkan aduan yang diterima melibatkan beberapa dakwaan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang melanggar peruntukan undang-undang termasuk Akta SPRM 2009.
Jelas SPRM, berdasarkan maklumat diterima, tender perkhidmatan 1BestariNet pada asalnya dirancangkan untuk tempoh 15 tahun membabitkan jumlah RM4.07 bilion, namun dipendekkan kepada tujuh tahun enam bulan tanpa ada pengurangan dari segi nilai kontrak.
"Walaupun perkhidmatan yang diberikan tidak mencapai matlamat, difahamkan masih ada beberapa tuntutan yang dibuat oleh syarikat berkenaan kepada pihak kementerian terbabit yang memerlukan siasatan terperinci bagi mengesahkan perkara itu," ujarnya.
Kata SPRM, sehingga kini, siasatan mendapati kerajaan perlu menanggung RM176 juta yang dituntut oleh syarikat berkenaan.
"Namun maklumat tuntutan tersebut belum dapat disahkan oleh kerajaan selain kerugian sewaan pencawang telekomunikasi bagi tempoh lima tahun sejak 2019 yang dianggarkan berjumlah RM10.8 juta.
“Justeru itu, tidak timbul isu mengapa siasatan dibuat setelah projek 1BestariNet ditamatkan pada 2019 kerana menjadi tanggungjawab SPRM untuk menjalankan siasatan secara profesional apabila mendapat maklumat baharu, khususnya yang melibatkan peruntukkan dana kerajaaan untuk pembangunan negara,” katanya.
Sehubungan itu, SPRM berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini kerana isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa seharusnya tidak boleh dikompromi.
Tegasnya, siasatan yang dijalankan adalah bersifat telus, adil dan profesional tanpa campur tangan mana-mana pihak.
Rabu lalu, Sinar Harian melaporkan SPRM memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet Kementerian Pelajaran Malaysia bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd pada 2011.
Berikutan itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dirinya terlibat dalam pemberian tender perkhidmatan 1BestariNet ketika menjadi Menteri Pendidikan. -- Sinar Harian