Fatimah Yasin, 62, ibu tunggal kepada sembilan orang anak itu berkata bagi tahun ini sahaja dia mengalami kerugian lebih RM30,000 selepas premisnya yang terletak di kawasan rendah di sini sudah tiga kali dinaiki air.
Warga emas itu berkata banyak barangan jualannya rosak kerana air biasanya naik secara mendadak dan dia yang tinggal berseorangan tidak mampu untuk mengangkut dan menyelamatkan semua barang dengan pantas.
"Barang-barang besar seperti peti sejuk dan televisyen saya dah minta tolong anak yang tinggal di kampung sebelah untuk simpan siap-siap di atas para yang dibina tinggi paras siling setiap kali masuk musim banjir.
"Namun barang-barang jualan runcit banyak yang tak dapat diselamatkan kerana stor simpanan barang kecil sahaja.. tak muat semua barang," katanya ketika ditemui di premis kedai yang juga menjadi kediamannya, di Kampung Paya Besar hari ini.
Fatimah berkata walaupun letih dan terpaksa menanggung kerugian besar setiap kali banjir, dia tidak mampu untuk berpindah ke lokasi lain kerana faktor kewangan, menyebabkan setiap kali banjir dia terpaksa mengeluarkan wang simpanan untuk menggantikan semula barang yang rosak.
"Saya baru tiga hari berniaga selepas terkena banjir 14 Dis lepas. Penat berkemas yang dulu pun tak hilang lagi dah datang yang baru.
"Kalau ada pilihan memang nak cari lokasi lain, tetapi saya berniaga kecil di kampung sahaja, mana ada banyak duit. Nak buat kerja lain pun saya tak pandai, daripada dulu memang berniaga," katanya.
Katanya walaupun memegang status ibu tunggal dan tidak mempunyai sumber kewangan yang stabil, dia tidak pernah menerima sebarang bantuan dari mana-mana agensi.
"Banyak permohonan dah dibuat tetapi ditolak dengan pelbagai alasan. Saya harap kali ini tolonglah bantu baiki sedikit rumah.. saya tinggal seorang, setiap malam tak lena tidur kerana dinding bilik dah nak roboh," katanya.
Sementara itu seorang lagi mangsa banjir di Kampung Batu Tiga, di sini kerugian hampir RM10,000 selepas perabot dan barangan elektrik yang baru dibeli dua bulan lepas rosak akibat banjir.
Menurut Haslinda Mohd Zanggi, 52, dia tidak sempat menyelamatkan barangan tersebut kerana air naik secara mendadak sehingga ke paras dada dalam tempoh tiga jam sahaja.
"Air naik mendadak 24 Dis lepas. Ketika itu saya sedang mengajar di tadika dan suami pula bekerja di bandar Kuala Berang. Tak sempat balik selamatkan barang-barang," katanya ketika ditemui di Tabika KEMAS di sini, hari ini.-- BERNAMA