Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah Negeri Kelantan Mat Lazim Mohammad berkata ia berdasarkan tinjauan di beberapa sekolah terjejas banjir terutama di Pasir Mas dan Tumpat.
"Pegawai dari Jabatan Pendidikan Negeri dan Daerah telah membuat pemantauan yang memfokuskan kepada sekolah terkesan banjir di daerah Tumpat dan Pasir Mas.
"Saya difahamkan semuanya dapat berjalan dengan baik," katanya ketika ditemui pemberita selepas tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Panjang di sini hari ini.
Bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Che Sofea Che Faizul, 17 berkata dia berharap banjir gelombang keempat tidak berlaku pada masa peperiksaan berlangsung.
"Saya akan menghadapi SPM bermula 8 Jan dan berakhir Mac nanti. Saya berdoa urusan peperiksaan berjalan dengan baik dan tidak ada banjir berlaku selepas ini.
"Semasa banjir baru-baru ini, kelas persediaan untuk menghadapi SPM dijalankan, tetapi disebabkan banjir, kami terpaksa mendapat bimbingan guru melalui kelas secara dalam talian," katanya.
Calon STPM, Pirayuth Prawing, 20, berkata dia perlu lebih fokus mengulangkaji pelajaran bagi menghadapi peperiksaan itu pada 22 Jan ini, selepas tidak dapat melakukannya dengan baik akibat rumahnya terjejas banjir.
-- BERNAMA