KUALA LUMPUR: Syarikat penyedia perkhidmatan kejuruteraan minyak dan gas bersepadu Serba Dinamik Holdings Berhad, seorang pengarah dan dua pegawai kanannya mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad, Februari lepas.

Serba Dinamik yang diwakili Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Abu Bakar Uzir, 43, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hamidah Md Deril.

Syarikat itu didakwa dengan niat untuk menipu telah mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad berhubung hal ehwal Serba Dinamik Holdings Berhad yang terkandung di dalam "Serba Dinamik Holdings Berhad's Quarterly Report on the Consolidated Results for the Quarter and Year Ended 31 December 2020".

Di mahkamah berasingan, Pengarah Eksekutif Bukan Bebas Datuk Syed Nazim Syed Faisal, 41, Pengawal Kewangan Kumpulan Azhan Azmi, 39, dan Timbalan Presiden Akaun dan Kewangan Muhammad Hafiz Othman, 37, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan sama dibacakan secara berasingan ke atas mereka di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Bursa Malaysia Securities Berhad, Bukit Kewangan, di sini pada 26 Feb lepas dan didakwa mengikut Seksyen 369(a)(B) dibaca bersama Seksyen 367(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 369 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM3 juta, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Syed Nazim, Muhammad Hafiz dan Azhan diikat jamin RM300,000 setiap seorang dengan dua penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri kepada pegawai penyiasat Suruhanjaya Sekuriti sebulan sekali serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti Hashley Tajudin dan Zulaida Zulkifli manakala Serba Dinamik dan kesemua pegawainya diwakili peguam L.K. Mak.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 27 Jan depan bagi sebutan semula kes.

-- BERNAMA