BERA: Jika dahulu dua agensi yang diberi tugas mengendali dan menguruskan pemberian vaksin COVID-19 negara, tetapi kini hanya Kementerian Kesihatan yang diberikan tanggungjawab itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ianya bagi melancarkan pengurusan vaksin negara.

Sementara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) perlu fokus kepada kajian penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin pengeluaran dalam negara seperti yang dilakukan negara Thailand.

"Kalau dulu ada dua kementerian, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains dan Teknologi ada jawatankuasa dipengerusikan oleh dua Menteri, ada dua KSU, dua-dua KSU terlibat, jadi agak sukar kalau ada dua.

“Kadang-kadang pandangan berbeza dari segi pandangan dan sebagainya. Jadi saya telah menetapkan bahawa untuk vaksin dan strategi kesihatan, ini semuanya di bawah Kementerian Kesihatan," katanya.

COVID-19 | Semua program, strategi kesihatan lawan COVID dikendali KKM


Perdana Menteri ditemui pengamal media selepas menyampaikan bantuan bakul makanan kepada wakil penduduk di sekitar Kuala Bera di Masjid Jamek Kampung Kuala Bera, di sini hari ini.

Katanya lagi, R&D vaksin perlu dipergiatkan agar negara tidak lagi bergantung kepada pengeluaran negara luar.

Menurut Ismail Sabri, ianya juga penting agar bekalan vaksin sentiasa terjamin dan mencukupi.

"Seperti saya kata COVID-19 akan jadi endamik dan akan berada di sekitar kita selama-lamanya ini sudah jadi macam denggi macam penyakit lain dan vaksin masih diperlukan jadi sebab itu saya kata Kementerian Sains dan Teknologi patut fokus pada R&D untuk menghasilkan vaksin daripada Malaysia tanpa kita perlu bergantung kepada eagara luar sebab kalau kita bergantung kepada negara luar apabila kes bertambah meningkat dengan mendadak itu yang kadang kadang boleh melibatkan supply itu agak terjejas," katanya.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai pertukaran portfolio antara Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Adham Baba selepas pengumuman barisan Kabinet petang semalam.

Ketika ditanya sama ada kerajaan akan mewajibkan pengambilan vaksin dalam kalangan kakitangan awam, beliau berkata setakat ini tiada arahan sedemikian.

Namun kerajaan mungkin akan mewajibkan pengambilan vaksin pada masa akan datang andai masih ramai enggan menerima vaksin kerana bimbang risiko wabak COVID-19 kepada masyarakat.