GAZA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah membatalkan kempen vaksinasi polio yang dijadualkan berlangsung di sebuah sekolah PBB di Gaza selepas premis tersebut mengalami kerosakan teruk akibat serangan udara.


Ringkasan AI
  • PBB membatalkan kempen vaksinasi polio di sebuah sekolah di Gaza selepas premis tersebut mengalami kerosakan teruk akibat serangan udara. Sekolah itu sepatutnya digunakan untuk kempen vaksinasi yang bermula hari ini.
  • Sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh dalam serangan Israel di sekolah Al Mufti di kem pelarian Nuseirat, Gaza. Lebih daripada 5,000 orang yang kehilangan tempat tinggal berlindung di sana.
  • Ketua dasar luar EU, Josep Borrell mengutuk serangan terhadap misi PBB dan menyatakan kebimbangan serius berhubung serangan oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) terhadap UNRWA. Beliau menegaskan bahawa keselamatan pasukan pengaman mesti dijamin dan serangan ini mesti dihentikan segera.


Pesuruhjaya Agung UNRWA, Philippe Lazzarini, pada Isnin berkata sekolah tersebut sepatutnya digunakan untuk kempen vaksinasi polio yang bermula hari ini, tetapi terpaksa dibatalkan setelah ia rosak teruk.

Pegawai dari Hospital Al Awda dan Al Aqsa di Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh dalam serangan Israel di sekolah Al Mufti di kem pelarian Nuseirat.

Lebih daripada 5,000 orang yang kehilangan tempat tinggal berlindung di sana, menurut pertahanan awam Gaza.

Lazzarini menambah bahawa keadaan di Gaza umpama 'neraka yang tidak berkesudahan' dan semua ini tidak sepatutnya menjadi norma baharu.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata dos kedua vaksin polio adalah penting untuk menghentikan penyebaran virus di Gaza dan di peringkat antarabangsa.

Kempen vaksinasi kecemasan ini dijadualkan bermula pada 14 Oktober 2024 di Gaza, dengan sasaran pemberian vaksin kepada kira-kira 591,700 kanak-kanak di bawah umur 10 tahun.

UNRWA mengesahkan bahawa ratusan kakitangan PBB dan rakan kongsi telah memulakan pusingan kedua vaksinasi polio untuk kanak-kanak pada Isnin, walaupun terdapat serangan yang berterusan di Gaza.

Di sebuah sekolah UNRWA yang dijadikan tempat perlindungan di Deir Al Balah, kanak-kanak berbaris untuk menerima dos vaksin mereka.

Ketua dasar luar Kesatuan Eropah, Josep Borrell, dalam pada itu mengutuk semua serangan terhadap misi PBB dan menyatakan kebimbangan serius berhubung serangan oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) terhadap UNRWA.

Beliau menegaskan bahawa keselamatan pasukan pengaman mesti dijamin dan serangan ini mesti dihentikan segera.