RAWANG: Semua haiwan yang berada di sebuah taman berhampiran pusat perniagaan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings di Bandar Country Homes, di Rawang, sudah diselamatkan.

Haiwan tersebut, antaranya enam ekor kuda dua ekor kuda padi - salah satunya bunting - dibawa keluar dari kawasan itu kira-kira jam 7 petang tadi.

Semua kuda tersebut diselamatkan Unit Berkuda daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan difahamkan akan dijaga polis sehingga tindakan selanjutnya dibuat.

Operasi menyelamatkan kuda itu selesai kira-kira jam 7.15 petang tadi dengan penduduk tempatan turut hadir bagi menyaksikan sendiri proses pemindahan itu.



Sementara itu, haiwan lain, iaitu arnab dan tiga ekor burung merak diselamatkan Persatuan Haiwan Malaysia (MAA) yang membawa semua haiwan itu ke pusat jagaan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Presidennya, Arie Dwi Andika (Professor of Practice) berkata, pihaknya pergi ke lokasi tersebut selepas mendapat panggilan telefon meminta MAA memantau keadaan haiwan di sana.

Jelasnya, berdasarkan pemerhatian, terdapat unsur pengabaian terhadap haiwan itu terutamanya arnab yang pada hematnya, tidak mendapat cukup makanan dan minuman.

Justeru, mereka hadir bagi menyelamatkan semua haiwan itu, mengelakkan lebih banyak pengabaian berlaku.

“Ini adalah perkara berkaitan nyawa dan kami tidak mahu bercanggah dengan dasar kebajikan haiwan yang ada dalam negara kita

“Kami di MAA menyokong penuh fasar kebajikan haiwan dan kami mengambil ia sebagai satu perkara serius.

“Kes lain bukan di bawah persatuan MAA tapi kami ambil berat pada haiwan ini. Sebab itu hadirnya petugas untuk pastikan kebajikan haiwan terpelihara,” katanya kepada Astro AWANI.