BENTONG: Lelaki yang melarikan sebuah kereta jenis Honda City di sebuah stesen minyak di Semambu pada Isnin sempat tidur hampir tiga jam di sebuah rumah yang dicerobohnya di Kampung Chinta Manis dekat Karak di sini sebelum diberkas polis pada Rabu.


Ringkasan AI
  • Suspek yang melarikan kereta jenis Honda City di stesen minyak di Semambu pada Isnin sempat tidur beberapa jam di sebuah rumah yang dicerobohnya sebelum diberkas polis pada Rabu.
  • Suspek berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira jam 12.45 tengah malam selepas pemilik rumah menghubungi polis.
  • Suspek yang beralamat di Sungai Isap, Kuantan itu mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.


Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira jam 12.45 tengah malam selepas pemilik rumah yang didiami pasangan suami isteri dan tiga anak berusia 3 hingga 12 tahun sebelum menghubungi pihak polis.

Menurutnya, berdasarkan keterangan pemilik rumah, pada Selasa, kira-kira jam 10 malam, suspek telah datang dan terus masuk ke dalam rumah.

"Suspek kemudian telah mengurung penghuni rumah dalam sebuah bilik. Suspek kemudian telah tertidur di ruang tamu sebelum pemilik rumah menghubungi pihak polis.

"Suspek yang beralamat di Sungai Isap, Kuantan itu mempunyai enam rekod jenayah lampau dalam kes dadah dan jenayah dan kali terakhir dibebaskan dari penjara pada tahun lepas," katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sini pada Rabu.

Ujarnya, ketika tangkapan dibuat, pihak polis turut membuat rampasan ke atas suspek antaranya satu unit kawalan jauh kereta, seutas jam tangan jenama Bonia, dua gunting, pisau dan telefon bimbit jenama Vivo.

Jelas Yahaya lagi, siasatan awal mendapati suspek turut mengaku turut terlibat di dalam kes kecurian motosikal dan kereta jenis Honda di Kuantan dan telah meninggalkan kereta terbabit di kawasan pasar awam Karak yang telah ditukarkan nombor pendaftaran palsu.

Katanya, kenderaan berkenaan tidak mengalami kerosakan dengan hanya kesan calar di beberapa bahagian selepas tampalan poster dipercayai dikikis oleh suspek bagi mengelak ia dikesan.

"Suspek kemudian telah menumpang orang awam ke kampung terbabit sebelum menceroboh rumah penduduk," ujarnya hasil ujian air kencing suspek didapati positif dadah.

Katanya lagi, suspek telah direman selama dua hari bermula Rabu serta menghargai kerjasama orang ramai dalam kes tersebut.

Sebelum itu, dalam kejadian yang berlaku pada jam 3.10 petang, Isnin, warga emas berusia 68 tahun itu bersama anak dan suaminya menaiki kereta singgah di stesen minyak.

Sebaik anak perempuan keluar dari kereta, suspek masuk dan melarikan kenderaan itu ketika warga emas itu berada di tempat duduk penumpang hadapan manakala suami warga emas terbabit berada di tandas di stesen minyak itu. -Sinar Harian