Tanggungjawab dalam menyemarakkan semangat cintakan negara bukan di bahu kerajaaan semata-mata tetapi dengan kerjasama strategik dari semua pihak.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Gobind Singh Deo berkata, dengan kerjasama itu program sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang berimpak tinggi yang memberi kesan kepada masyarakat dapat dihasilkan.

Jelasnya, meskipun pertukaran kerajaan berlaku pada Mei lalu, ia tidak menghalang seluruh jentera berganding bahu menjayakan program sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2018.

"Melihat kepada keseluruhan sambutan pada tahun ini, saya berasa amat bangga dengan komitmen dan semangat kerjasama tinggi yang diberikan semua pihak.

"Tanpa anda semua, sambutan ini tidak akan memberikan impak yang tinggi walau sekecil kecil tugasan, iainya turut memberikan kesan kepada kejayaan program," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Program Pengukuhan Jaringan Strategik Merdeka 2018 sebagai tanda penghargaan dan memperkukuh jaringan kerjasama rakan strategik antara pelbagai pihak yang terlibat dalam menjayakan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2018.

Sijil penghargaan kepada wakil-wakil agensi turut disampaikan di majlis tersebut sebagai menghargai komitmen mereka yang terlibat dalam menjayakan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2018.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Astro AWANI Suhaimi Sulaiman bagi menerima Sijil Penghargaan sebagai rakan strategik media dalam menjayakan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2018.

Program yang memasuki tahun keenam penganjurannya telah diadakan di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara dan dihadiri 1,500 rakan strategik terdiri daripada pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, sektor swasta, agensi media, pertubuhan bukan kerajaan, NGO serta sukarelawan.