KUALA LUMPUR: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 memperlihatkan 11,713 daripada keseluruhan 373,255 calon berjaya memperolehi gred A untuk semua mata pelajaran yang diambil, sama ada A+, A atau A-.


Ringkasan AI
  • Iltizam dan aspirasi Kerajaan untuk memperkukuh ekosistem TVET terus diperkuatkan lagi dengan pembiayaan tambahan RM200 juta bagi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang akan dapat dimanfaatkan oleh kira-kira 13,000 orang pelajar.
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembiayaan dalam bidang-bidang ini akan menggalakkan institusi TVET membangunkan program-program latihan selari dengan hasrat Kerajaan untuk memantapkan sektor dan industri dengan pertumbuhan dan nilai tinggi (HGHV), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP).
  • Ia dilihat kritikal untuk mewujudkan peluang pekerjaan berimpak tinggi selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0, perubahan iklim dan amalan kemampanan, anjakan demografi dan globalisasi rantaian nilai yang akan mengubah sifat pekerjaan yang memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir.


Itu bersamaan dengan 3.13 peratus.

Sementara itu, 226,358 daripada 373,255 calon baharu SPM 2023 lulus sekurang-kurangnya semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 213,624 calon pada 2022.

Itu pula 60.6 peratus.

Menjadi persoalan ialah mengenai 10,160 calon SPM tidak hadir, sekaligus berkemungkinan besar menyebabkan mereka tidak layak untuk untuk mengambil sijil.

Maka selayaknya kita memegang mantra - ‘ulat dalam batu pun boleh hidup‘ – yang menunjukkan jika seseorang itu bangkit daripada situasi yang sukar, dan kembali atau menjadi cekal dan gigih, maka tidak mustahil dia akan beroleh kejayaan.

EKOSISTEM AWAL TVET DI MALAYSIA

Pertamanya, perlu difahami asas kewujudan industri TVET, dan ekosistem yang menyokong penumbuhannya, baik dari Fasa Penjajahan Kolonial British (1870 – 1952), Fasa Pasca Kemerdekaan (1952 – 1978), membawa ke Fasa Pengindustrialisasi (1979 - 2010).

Memetik Kajian Chang Yun Fah dari Pusat Polisi dan Sosial Tun Tan Cheng Lok (The Development of TVET System in Malaysia and Its Challenges Ahead), pelaksanaan TVET di era Kolonial British dilakukan secara kecil-kecilan dan tidak bersistematik.

Beberapa kolej dan pusat latihan diwujudkan dengan tujuan khusus untuk melatih belia Melayu menjadi buruh berkemahiran dalam pembinaan laluan kereta api dan penyelenggaraan.

Fasa Pasca Kemerdekaan pula menyaksikan objektif utama kerajaan - terhasil susulan laporan Penyata Razak dan Penyata Talib – yang mahu menstruktur semula sosial dan program tindakan afirmatif di bawah Dasar Ekonomi Baharu.

Ketika ini pembangunan TVET dilihat berdasarkan dua karektor – peralihan daripada tindakan melindungi kepentingan Kerajaan Koloni British, kepada menghasilkan tenaga buruh berkemahiran untuk agensi kerajaan.

Keduanya, menyasarkan latihan TVET daripada eksklusif untuk belia Melayu semata-mata, kepada semua pelajar di peringkat menengah.

Memasuki Peringkat Industrialisasi, kerajaan mula membuat pelaburan strategik bagi mewujudkan ekosistem berkaitan TVET, antara lain Proton dan Perwaja, serta mewujudkan lebih banyak universiti berkaitan seperti UiTM, UTHM, dan UTeM.

TVET PILIHAN KEDUA?

Stigma ibu-bapa sejak bertahun lamanya sedikit sebanyak mempengaruhi jumlah pengambilan pelajar TVET di peringkat tinggi. Budaya di negara ini satu ketika melihat TVET atau pendidikan kemahiran dilihat pilihan kedua atau ketiga berbanding akademik.

Rata-rata melihat ia pilihan yang baik untuk individu yang tidak begitu cemerlang dalam akademik, dan menganggap ia adalah jalan terbaik untuk memastikan individu itu tidak terus gagal dalam kehidupan.

Memetik kajian Ba Gow Jie, dan Ruhizan Mohd Yasin dari UKM bertajuk - Usaha Meningkatkan Kesedaran Pelajar dan Ibu Bapa Terhadap Kebolehpasaran Pekerjaan dalam Bidang TVET - usaha  meningkatkan kesedaran pelajar dan ibu bapa terhadap kebolehpasaran pekerjaan dalam bidang TVET berada pada tahap tinggi.

Ia dilihat bertepatan dengan keadaan negara sekarang yang mementingkan bidang TVET.

“Masyarakat perlu mengubah persepsi negatif terhadap aliran TVET kerana peluang kerjaya dalam bidang TVET ini sangat luas dan perlu diisi dengan pekerja tempatan. 

“Semua pihak juga perlu memberi galakkan kepada pelajar-pelajar untuk menyertai bidang TVET kerana kebolehpasaran pekerjaan sangat tinggi dan secara langsung dapat mengurangkan masalah  pengangguran dalam kalangan remaja di Malaysia,” menurut kajian mereka lagi.

Berdasarkan statistik sewaktu kajian mereka ditulis, dianggarkan kurang daripada 3 peratus (3,000 pelajar) bukan Melayu di institusi awam TVET, tetapi kira-kira 50 – 70 peratus (18,841 – 26,377) pelajar bukan Melayu di institusi swasta TVET.

Ini jelas kontra dengan jumlah 98 peratus (138,779) pelajar Melayu di institusi awam TVET manakala 30 – 50 peratus (11,305 – 18,841) pelajar Melayu di institusi swasta TVET.

Felo Institusi Jurutera Kimia, Persatuan Diraja Kimia, Eur Ing Hong Wai Onn dalam kolum beliau berkata, TVET sering dipandang sebagai kurang berprestij atau dikait dengan pelajar yang tidak cemerlang dalam akademik.

“Berdasarkan Statistik Institusi UNESCO, hanya 6.1 peratus belia Malaysia berada dalam institusi TVET pada tahun 2022, berbanding 23.8 peratus di Singapura, dan 14.2 peratus di Korea Selatan.

“Jika TVET dilihat kurang bernilai, mengapa negara maju seperti Singapura dan Korea mempunyai jumlah graduasi TVET yang lebih tinggi,” soalnya kembali.

KERAJAAN DAN TVET

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara sering kali menegaskan, TVET bukan lagi pilihan kedua untuk pelajaran peringkat lebih tinggi.

Sejurus dilantik sebagai pengerusi, Ahmad Zahid berkata, beliau telah menaik taraf pendidikan itu dengan mewujudkan kolaborasi di antara institusi TVET tempatan dengan lebih 200 pemain industri seperti Petronas, DRB Hicom, GAMUDA Berhad, Turkish Aerospace Inc., TH Brandenburg University of Applied Sciences dan banyak lagi, dalam menjayakan pemerkasaan TVET di Malaysia.

Keberhasilan yang dapat disaksikan melalui Majlis TVET Negara, katanya lagi, ialah mentransformasi bidang tersebut ke arah melahirkan tenaga mahir warga tempatan, bagi memenuhi keperluan industri negara.

Malah, ia juga bukan pengakhiran untuk 10,160 calon SPM tidak hadir seperti yang disebutkan di awal artikel.

Ahmad Zahid berkata, bidang TVET boleh menjadi peluang kedua buat mereka dan tidak berputus asa untuk melanjutkan pelajaran dan membina kerjaya pada masa depan.

"TVET terima pelajar yang gagal dan tidak mengambil peperiksaan SPM. Ini bukan bererti TVET adalah pilihan kedua atau ketiga, tetapi ia adalah peluang kedua untuk pelajar (yang tidak menduduki peperiksaan SPM)," katanya.

Iltizam dan aspirasi Kerajaan untuk memperkukuh ekosistem TVET terus diperkuatkan lagi dengan pembiayaan tambahan RM200 juta bagi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang akan dapat dimanfaatkan oleh kira-kira 13,000 orang pelajar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembiayaan dalam bidang-bidang ini akan menggalakkan institusi TVET membangunkan program-program latihan selari dengan hasrat Kerajaan untuk memantapkan sektor dan industri dengan pertumbuhan dan nilai tinggi (HGHV), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP).

Ia dilihat kritikal untuk mewujudkan peluang pekerjaan berimpak tinggi selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0, perubahan iklim dan amalan kemampanan, anjakan demografi dan globalisasi rantaian nilai yang akan mengubah sifat pekerjaan yang memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir.

JADI, TVET MASIH PILIHAN KEDUA?

Seringkali TVET atau pekerjaan berasas kemahiran dikait dengan bengkel motor atau kereta, atau mengendali mesin di kilang, atau sebahagian daripada tenaga buruh yang membina bangunan atau infrastruktur.

Sedangkan, bidangnya cukup luas, merangkumi antara lain – kejuruteraan, elektronik dan telekomunikasi, membawa kepada pengurusan projek dan infrastruktur, hinggalah mengendali peralatan makmal canggih di klinik dan hospital.

Jangan dilupa peluang TVET luas di bahagian hospitaliti dan pelancongan, membawa kepada syarikat pengangkutan dan firma logistik, tidak kurang juga di bahagian seni kreatif dan perniagaan agro.

Jika kemahiran itu terletak di aras yang tinggi dan amat diperlukan dalam ekosistem pembangunan negara, ia dilihat tepat dengan aspirasi Ahmad Zahid yang mahu memastikan graduan TVET memperoleh sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan.

“Untuk TVET bukan hanya gaji minimum, tapi gaji premium. Dan saya telah mengusahakan agar mereka yang lulus SKM 5, gaji minimum dia RM4,000, tanpa SPM. Ataupun SPM dia gagal atau rendah kecemerlangannya. Sebab kita nak sesuaikan dengan kehendak pasaran,” katanya lagi.

Dengan pelaburan yang tinggi, yang memang dijangka akan menjadi pulangan yang amat berharga bagi pembangunan modal insan dan kemajuan negara, adakah TVET masih pilihan kedua?