Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed lega selepas Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) diluluskan Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun beliau mengakui bakal berdepan cabaran besar selepas ini.

"Saya rasa lega setelah TPPA dibincang di Parlimen dua hari dan setelah berunding lebih lima tahun , maka Parlimen bersetuju untuk Malaysia tandatangan.

"Ini merupakan cabaran paling besar dalam hidup saya dalam karier saya sebagai Menteri," katanya dalam sidang media selepas Sidang Khas Dewan Rakyat mengenai TPPA di Dewan Rakyat di sini hari ini.

BACA : TPPA: 'Saya bimbang nasib Bumiputera' - Shafie Apdal


BACA : Institut penyelidikan TPPA dicadang ditubuhkan


Beliau mengakui tidak pernah melalui perkara yang sebegitu rumit kerana banyak salah faham timbul berhubung TPPA.

"Banyak perkara yang ada tidak berasas dan saya mendapat banyak pandangan serta kritikan pelbagai pihak. Namun saya akur dengan kritikan itu," jelas beliau.

Mustapa juga berjanji akan terus menerima pandangan rakyat dalam usaha membantu Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS).

"Kita akur dengan kehendak rakyat Malaysia supaya PKS dapat bersaing dan tembusi pasaran asing walaupun kita tahu ada berjaya dan banyak lagi tidak berjaya. Ini janji saya," katanya.


Tambahnya, usaha membawa TPPA ke Parlimen menunjukkan kerajaan mengambilkira pandangan Ahli Parlimen.

Bagaimanapun katanya, tugas beliau masih lagi belum selesai untuk memasti dan memberi keyakinan kepada orang ramai mengenai TPPA.

"Saya tahu tugas belum lagi selesai. Ini baru permulaan.

"Malam ini saya jumpa Ahli Dewan Negara jam 8.30 malam untuk berkongsi hasil perbincangan di Dewan Rakyat untuk persediaan," ujarnya.

BACA : Hanya Malaysia bawa TPPA ke Parlimen - Mustapa

BACA : Najib tolak andaian TPPA adalah penjajahan Amerika, kuasa besar