Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar bersedia untuk berdepan Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen berhubung isu pertemuan beliau dengan anak perempuan kepada penceroboh Sabah, Jamalul Kiram III, Jacel Kiram, sekiranya usul untuk merujuk beliau diluluskan.

"Saya akan berdepannya dengan hati yang terbuka," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Selain itu, Nurul Izzah turut menyatakan bahawa beliau akan berbincang dengan pihak peguamnya untuk mengambil tindakan terhadap individu yang telah mengaitkannya dengan tindak tanduk mengkhianati Negara.

"Ini termasuk Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar serta anggota kabinet Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob," kata beliau.

Menurutnya lagi, beliau akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi nanti.

Pagi tadi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata, usul untuk merujuk Nurul Izzah itu tersenarai dalam aturan mesyuarat di sidang Parlimen hari ini dan ia dibuat mengikut Perintah Tetap 27(3) dan 80 untuk merujuk naib presiden PKR itu kepada jawatankuasa berkenaan.

"Perincian usul tersebut telah menyatakan bahawa pertemuan tersebut telah dilihat bertentangan dengan angkat sumpah sebagai ahli Parlimen dan sumpah setia Nurul Izzah kepada Malaysia.,

"Tindakan Naib Presiden PKR itu dianggap suatu penghinaan kepada Majlis Mesyuarat yang turut mencemarkan nama baik dan imej Dewan Rakyat," katanya di Parlimen.

Azalina berkata, keputusan itu akan memberi peluang kepada Nurul Izzah untuk memberi penjelasan kepada jawatankuasa itu berhubung pertemuannya dengan Jacel.

Menurutnya, gambar Nurul Izzah bersama seorang anggota keluarga diraja Sulu terkenal itu yang bertanggungjawab dalam pencerobohan ke atas Lahad Datu merupakan "isyarat yang nyata terhadap ketidaksetiaan kepada negara".

Beliau berkata teras kepada perkara ini adalah Nurul Izzah gagal menjawab dengan jelas persoalan yang dibangkitkan berhubung pertemuannya dengan Jacel.

"Berikutan wujudnya tingkah laku kurang baik oleh Anggota Parlimen tertentu, kod perilaku atau lebih tepat lagi, kod etika perilaku, perlu menjadi keutamaan memandangkan ia bertujuan mengawal selia anggota Parlimen kita, terutamanya dalam mengadakan pertemuan dengan kumpulan dari luar negara," kata Azalina.

Beliau berkata meskipun Nurul Izzah cuba memohon maaf, sebagai anggota Parlimen, perilaku beliau itu tidak boleh diterima.

Ini, katanya, bertentangan dengan sumpah yang diikrarkan beliau yang berjanji untuk melindungi negara dan mendukung Perlembagaan, oleh itu bermaksud beliau menyedari sepenuhnya
tanggungjawabnya, lebih-lebih lagi dalam perkara berkaitan kedaulatan negara.

"Tidak akan ada kompromi di sini ataupun tolak ansur terhadap apa jua percubaan oleh mana-mana anggota Parlimen untuk melanggari sumpah mereka kepada dewan yang mulia ini," katanya.

Jacel memuat naik empat gambar pertemuannya dengan Nurul Izzah pada 9 Nov, dalam akaun Facebook beliau.