KUALA LUMPUR: Bahagian Toksikologi Pusat Analisis Sains Forensik Jabatan Kimia Malaysia (Kimia Malaysia) sedang menganalisis sampel darah mangsa berusia dua tahun yang mati disyaki akibat keracunan makanan.

Kimia Malaysia dalam kenyataan di sini memaklumkan telah menerima sampel itu daripada pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia hari ini.

Menurut Kimia Malaysia, analisis sampel itu akan disiapkan dengan kadar segera.

"Pegawai penyiasat akan dimaklumkan sebaik sahaja analisis selesai dijalankan," menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, Kimia Malaysia memaklumkan bahawa agensi itu sentiasa komited dalam memastikan keperluan rakyat sentiasa didahului seiring dengan kemajuan sains dan teknologi sedia ada.

Semalam, kanak-kanak itu dan seorang remaja berusia 17 tahun dilaporkan maut selepas mengalami cirit-birit akibat makan makanan yang dibawa pulang dari sebuah program sekolah agama di Daerah Gombak, Selangor pada Sabtu lepas.

-- BERNAMA