SUNGAI BULOH : Penduduk di Taman Setia Warisan, Kampung Melayu Subang, Shah Alam menggesa pihak berwajib agar segera menyelesaikan masalah banjir kilat yang berulang kali melanda perumahan itu.

Kata mereka, banyak aduan telah dibuat, namun isu banjir kilat yang memusnahkan harta benda penduduk tidak juga dapat diatasi sehingga ke hari ini.

Semasa Astro AWANI membuat tinjauan di Taman Setia Warisan, kebanyakan penduduk sedang bertungkus-lumus membersihkan rumah masing-masing yang terkesan akibat banjir.

Banyak harta benda seperti perabot dan barangan elektrik yang rosak dan terpaksa dibuang.

Lebih menyedihkan, kesan banjir pertama masih lagi terasa, dan ditambah lagi kejadian kedua semalam. 

Seorang penduduk, Mohd Nazmi Kasmani berkata, ketika kejadian, air dari limpahan sungai berdekatan naik dengan cepat dan dia hanya mampu menyelamatkan kenderaan pada ketika itu. 

"Masa itu saya tengah tidur, saya sempat alihkan kereta dua buah, saya patah balik tengok air sudah naik. Saya masa itu seorang, menggelabah juga saya nak selamatkan semua barang. Air pula sudah sampai ke  paras lutut dalam rumah, dekat luar rumah pula sudah paras pinggang. Saya reda masa itu," kata kakitangan swasta itu. 

Ujarnya, dia sendiri pernah mengalami perkara sama sebelum ini dan perabot yang baharu dibeli juga rosak pada bencana banjir kilat kali kedua ini. 

 Penduduk Taman Setia Warisan, Mohd Nazmi Kasmani (kiri) dan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Setia Warisan,Mat Saad Ahmad (kanan). - Foto Astro AWANI

Dalam pada itu, bagi Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Setia Warisan, Mat Saad Ahmad, dia berharap pihak berwajib  menaik taraf benteng penahan banjir di sungai berdekatan yang terletak tidak jauh dari kediaman mereka.

"Saya dimaklumkan bajet projek dalam RM15 juta , RM20 juta, tetapi juta-juta tu tak selesaikan masalah pun. Tembok tanah pecah, tembok itu tak stabil untuk lawan air. Kena ada benteng yang baik. Kami harap calon wakil rakyat akan ambil tindakan. Jangan pandai cakap sahaja, datang cakap-cakap, tetapi tindakan tak buat," ujarnya. 



Malah sebenarnya, isu benteng sungai berkenaan sudah berlarutan sejak 20 tahun lalu dan tindakan yang dilakukan seakan tidak cukup berkesan.

"Mereka yang berwajib, termasuk wakil rakyat digesa bukan sahaja turun padang melihat masalah rakyat, tetapi juga memastikan tindakan dilakukan itu dapat mengatasi banjir kilat secara keseluruhannya di Kampung Melayu Subang," tambah beliau. 

 Ketua Kampung Melayu Subang, Mohd Salim Abd Rahman. - Foto Astro AWANI

Dalam pada itu, Ketua Kampung Melayu Subang, Mohd Salim Abd Rahman berharap pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meneruskan kerja-kerja mendalamkan lagi sungai-sungai di kampung itu bagi mengurangkan risiko banjir susulan limpahan air besar. 

"Di Kampung Melayu Subang ini, banjirnya bukan banjir termenung. Sejam selesai. Namun, kalau rumah dinaiki air, barangan tetap rosak.

"Jadi saya rasa langkah yang paling baik ialah sungai sekitar didalamkan lagi dan tebing sungai dinaikkan lagi sebab biasa di kawasan jambatan itu rendah, air naik ke darat. Maka bertindaklah segera," ujarnya.

Tambahnya, paling teruk adalah banjir yang berlaku tahun lalu di mana lebih 640 rumah terjejas teruk dengan bencana berkenaan.

"Pada ketika itu mangsa adalah tiga kali ganda berbanding yang terbaharu ini. Sejak dari itu, Pusat Penempatan Sementara (PPS) dibuka.

"Namun, sekarang banjir kilat sangat cepat berlaku, tetapi kesan dia sangat berat," tambahnya.

BACA: Lima sungai berada di paras bahaya

BACA: PRU15: Khairy, Ramanan turun padang tinjau banjir di Sungai Buloh