TENOM: Seorang wanita hari ini memberitahu Mahkamah Majistret di sini bahawa beliau tidak pasti sekiranya pernah menghantar gambar lucah kepada Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew berhubung dakwaan gangguan seksual yang dihadapi pendakwah itu.

Wanita 40-an itu selaku saksi pendakwaan kesembilan yang juga pengadu kes itu berkata gambar tersebut mungkin ditangkap layar oleh Lew semasa panggilan video dibuat.

Ram Singh: Adakah kamu setuju jika ia satu panggilan video dan gambar diambil pasukan forensik daripada Bukit Aman akan mengesan dakwaan kamu daripada panggilan video daripada telefon kamu?

Saksi: Saya tidak pasti sebab macam yang saya cakap tadi, dari panggilan video saya ada bagi (menunjukkan anggota badan) dan dari mesej saya tidak pasti bila," katanya semasa pemeriksaan balas peguam Datuk Ram Singh yang mewakili Lew pada perbicaraan kes itu.

Wanita itu berkata ketika panggilan video itu dibuat, beliau berasa terpedaya kerana mengikut arahan tertuduh untuk mendedahkan anggota badannya dan Lew sepatutnya memberikan nasihat kepada orang yang memerlukan bantuan.

Dalam keterangannya, saksi itu juga berkata beliau tidak pernah berniat untuk merosakkan imej pendakwah itu kerana Lew memang pernah mengadu kepadanya menerusi panggilan telefon mengenai masalah keinginan seksual yang tinggi.

Wanita itu berkata beliau ada bertanya mengapa Lew mempunyai keinginan seks yang tinggi adakah kerana mengambil pil, namun tertuduh memberitahu tidak mengambil sebarang pil.

Ram Singh: Kamu tidak pernah diberitahu tentang aktiviti Ebit Lew dengan isterinya dan ini cara kamu merosakkan (nama baik) beliau, setuju?

Saksi: Tidak setuju, dia (Lew) memang ada beritahu.

Ebit Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Pendakwah itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani bersambung esok.

-- BERNAMA