PETALING JAYA: "Saya dengar bunyi letupan kuat sehingga terasa gegaran sebelum melihat api marak dan menyambar tiga gerai dengan pantas," kata seorang saksi kebakaran di Uptown Kota Damansara, di sini semalam.

Menceritakan detik cemas itu Zulkifli Adnan, 21, pekerja sebuah bengkel motosikal terletak berhadapan dengan lokasi kejadian berkata, apabila melihat api marak dia segera meminta tolong orang ramai yang berada di kawasan itu untuk memadam kebakaran bagi mengelak api merebak ke gerai lain.

Katanya, peniaga berhampiran terus mencapai 12 alat pemadam api untuk memadamkan kebakaran namun api tidak dapat dikawal walaupun semua alat pemadam itu habis digunakan.

Zulkifli berkata dalam masa setengah jam, 20 buah gerai dijilat api dan banyak barang tidak dapat diselamatkan.

"Kalau kami hendak padam guna air, tak boleh kerana paip kecil maka kami guna apa sahaja peralatan untuk padam api," katanya kepada Bernama hari ini.

Peniaga makanan Azhari Senandung, 30, berkata ini merupakan kali pertama kebakaran berlaku dalam tempoh empat tahun dia menjalankan perniagaan di bazar larut malam itu.

"Gerai makanan saya sedikit terjejas namun pekerja sempat mengalihkan barang jualan supaya terselamat daripada dijilat api juga," katanya.

Walaupun kedainya tidak musnah sepenuhnya, namun dia berkata perniagaan yang diusahakannya terjejas kerana kawasan itu diarahkan tutup sementara sehingga siasatan selesai dijalankan.

"Kami tidak boleh menjalankan operasi perniagaan, dari segi pampasan pula akan dibincangkan kemudian oleh pihak pengurusan. Buat masa sekarang, kami cuma membersihkan barang untuk mudahkan kerja pembersihan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid meminta peniaga terlibat supaya tampil membuat laporan segera dan setakat petang ini, seorang peniaga sudah berbuat demikian.

Beliau berkata Uptown Kota Damansara ditutup kepada orang ramai bagi memberi ruang pasukan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menjalankan siasatan sehingga selesai.

Semalam, kira-kira 20 gerai di Uptown Kota Damansara, di sini, terlibat dalam kebakaran yang turut menjejaskan sebuah gimnasium.

-- BERNAMA