KLANG: Sebuah kilang kimia di Taman perindustrian Sungai Kapar Indah, Klang, terbakar sehingga menyebabkan berlaku beberapa letupan, pada Isnin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 4.45 petang tadi.

Katanya, hasil siasatan awal pihaknya mendapati, letupan tersebut dipercayai berpunca daripada bahan kimia yang disimpan di pekarangan sebuah kilang.

"Terdapat kerosakan pada bangunan kilang itu dan kilang-kilang berhampiran.

"Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta unit Hazmat sedang menjalan siasatan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar menjelaskan, kebakaran dipercayai berpunca daripada kebocoran gas.

Katanya, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) sedang mengenal pasti jenis bahan kimia yang menyebabkan letupan itu.

Beliua menambah, siasatan lanjut masih dijalankan dan pihaknya sedang menunggu pemilik kilang untuk mendapatkan maklumat lanjut.